KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tampil mengakui kaedah latihan ‘gaya Eropah’ menjadi punca dia terus bergelut untuk meningkatkan persembahannya.
Pemain yang menghuni ranking No. 28 dunia itu berkata, sejak kecil dia terbiasa dengan kaedah lama dan secara tiba-tiba perlu melakukan perubahan tersebut dengan gaya permainan yang berbeza daripada kebiasaannya.
“Bukan cakap tak boleh masuk, tapi mungkin sejak dari kecil sampai (awal) tahun lepas sudah biasa dengan gaya permainan sebelum ini (gaya lama).
“Cara permainan (gaya Eropah), saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri, memang ada rasa sedikit susah dari segi mentaliti,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang menjelang Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, semalam.
Pemain perseorangan No. 1 Malaysia itu berdepan kemelut untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan Eropah sejak Kenneth Jonassen dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Berikutan masalah yang dihadapinya, Jun Hao tidak menunjukkan sebarang peningkatan positif dan sebaliknya sering kali terkandas pada pusingan pertama kejohanan antarbangsa disertainya, tahun lalu.
Justeru, bagi menangani isu tersebut, Jun Hao berkata, dia kini kembali kepada gaya lama yang sudah betah dengannya sejak kecil lagi.
Bagi membantu program latihan yang kini kembali ke kaedah lama, Datuk Tey Seu Bock dikhabarkan kembali ke pangkuan kejurulatihan pasukan senior dan Jun Hao memberitahu, dia mula berlatih di bawah pengendali tempatan itu selepas pulang dari Sukan SEA Thailand.
“Pada ketika ini saya cuba untuk lebih banyak berkomunikasi dengan jurulatih dan jurulatih Yogendran juga ada bersama saya, kami berlatih sebagai satu pasukan, jadi, ini boleh membantu,” katanya. – UTUSAN











