Bergson beri reaksi positif sertai Harimau Malaya

Bergson beri reaksi positif sertai Harimau Malaya

Bergson Da Silva
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva menajamkan lagi jentera serangan Harimau Malaya besar kemungkinan bakal menjadi kenyataan seawal Mac ini.

Ini selepas isyarat yang diberikan jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengenai status Bergson bersama skuad kebangsaan mendapat reaksi positif daripada penyerang kelahiran Brazil itu.

Sebelum ini, Cklamovski dalam hantaran di Instagram memuat naik gambar bersama Bergson serta meletakkan emoji Jalur Gemilang selepas penyerang kelahiran Brazil itu membantu JDT menewaskan Selangor.

Perkongsian berkenaan pantas mencetuskan spekulasi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan mengenai kemungkinan masa depan Bergson sebagai pemain naturalisasi bersama Harimau Malaya.

Terbaharu, Bergson menzahirkan penghargaan kepada Cklamovski atas sokongan yang diberikan selain mengakui kagum dengan usaha jurulatih dari Australia itu dalam mengemudi skuad kebangsaan.

“Terima kasih atas sokongan itu kerana beliau seorang jurulatih yang bagus. Saya mengikuti tugas beliau dan sentiasa melihat perkembangan Harimau Malaya. Saya teruja melihat rakan rakan sepasukan di JDT yang beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Mengulas kemungkinan bekerjasama dengan Cklamovski di peringkat antarabangsa, Bergson tidak menolak peluang itu, namun memilih untuk menunggu perkembangan lanjut.

“Saya tahu mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan mari kita tunggu apa yang akan berlaku. Mungkin saya mampu memberi bantuan,” katanya yang kini meledak 14 gol dalam saingan Liga Super.

Untuk rekod, tahun 2026 bakal menjadi tahun kelima Bergson beraksi di Malaysia, sekali gus membuka peluang besar buat pemain itu untuk dinaturalisasikan mengikut peraturan semasa.

Sejak menyertai JDT, Bergson muncul antara penyerang paling prolifik dalam bola sepak tempatan selepas meledak 171 jaringan dan menyumbang 32 bantuan gol dalam 167 penampilan bersama Harimau Selatan.

Selain Bergson, pemain sayap JDT, Manuel Hidalgo dan tonggak pertahanan kental Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuco juga semakin hampir untuk dinaturalisasikan tahun ini.

Ketiga-tiga mereka sudah melepasi syarat untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas memenuhi peraturan diletakkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Seandainya segala dokumentasi tidak berdepan masalah, Bergson dan Gallifuoco dijangka bersedia bermain untuk skuad Harimau Malaya seawal Mac ini, manakala Hidalgo kemungkinan pada Mei nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×