PETALING JAYA: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva muncul penjaring terbanyak Liga Super selepas meledak 27 gol pada musim ini.
Pencapaian berkenaan menyaksikan calon pemain naturalisasi Harimau Malaya itu berjaya mempertahankan anugerah yang diraihnya musim lalu selepas meledak 32 gol.
Untuk rekod, selain musim lalu, pemain kelahiran Brazil itu juga pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bagi musim 2022 dengan meledak 29 jaringan bersama JDT.
Bukan itu sahaja, Bergson juga sebelum ini telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super dengan 109 gol mengatasi bekas penyerang Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin (106 gol).
Sementara itu, penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes berada di kedudukan kedua senarai penjaring selepas meledak 23 pada musim ini.
Seorang lagi penyerang Harimau Selatan, Jairo Da Silva pula berada di kedudukan ketiga dengan 14 gol pada musim ini.
Dalam pada itu, penyerang Kuala Lumpur City FC, Safawi Rasid muncul pemain tempatan paling menyerlah musim ini apabila meledak 13 gol.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu, berkongsi kedudukan dengan penyerang Kuching City FC, Ronald Ngah Wanja.-UTUSAN










