PETALING JAYA: Ayam tambatan Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva boleh menjadi senjata baharu di jentera serangan Harimau Malaya selepas pemain tersebut melengkapkan syarat utama untuk proses naturalisasi.
Penyerang kelahiran Brazil itu telah melengkapkan tempoh pemastautinan selama lima tahun di Malaysia sejak beraksi dengan skuad Harimau Selatan yang juga gergasi Liga Malaysia (Liga M) pada 3 Februari 2021.
Pada musim ini sahaja, Bergson sudah mencetak 25 jaringan daripada 170 gol sepanjang lima tahun bersama skuad Harimau Selatan, malah meletakkan nama beliau sebagai penyerang prolifik di Liga Malaysia.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada pengesahan rasmi dari mana-mana pihak baik daripada pengurusan Harimau Selatan mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai proses naturalisasi itu.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, proses naturalisasi penyerang prolifik JDT itu perlu dibuat dengan cermat agar tidak mengulangi kesilapan yang berlaku kepada tujuh pemain warisan.
Katanya, FAM perlu mewujudkan satu badan bebas bagi menilai setiap dokumen agar tidak mengundang sebarang risiko kepada pemain itu sendiri dan juga skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski.
“FAM mesti belajar daripada kesilapan, memang boleh guna naturalisasi tetapi kena pastikan betul-betul agar tidak menjadi perkara berbangkit macam apa yang terjadi kepada tujuh pemain warisan sebelum ini.
“Mereka (calon naturalisasi) patut diaudit oleh badan bebas untuk pengesahan dokumen yang ikut segala peraturan FIFA. Mesti badan bebas dan bukannya SUA (Setiausaha Agung) FAM sahaja yang putuskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya tentang prestasi Bergson, Zulakbal mengakui penyerang kelahiran Brazil itu telah membuktikan ketajaman penyudah dengan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas Liga Super.
“Jika dinailai berdasarkan prestasi dan rekod, memang Bergson calon naturalisasi yang tepat, dia juga penjaring terbanyak Liga Super. Saya percaya dia mampu membentuk kerjasama dengan pemain sedia ada dalam skuad kebangsaan,” tambahnya.
Selain Bergson, pemain sayap Harimau Selatan, Manuel Hidalgo dan tonggak pertahanan kental skuad Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuco juga difahamkan semakin hampir untuk dinaturalisasikan tahun ini.
Seandainya segala dokumentasi tidak berdepan masalah, Bergson dan Gallifuoco dijangka bersedia bermain untuk skuad Harimau Malaya seawal Mac ini manakala Hidalgo pula berkemungkinan pada Mei nanti.
Biarpun FAM telah menghentikan program naturalisasi pemain bola sepak professional, namun badan induk itu tidak menghalang kelab ataupun negeri untuk meneruskan program berkenaan kerana itu adalah hak setiap pihak pengurusan. – UTUSAN










