ISU perolehan pesawat pejuang F/A-18 Hornet terus menimbulkan tanda tanya dalam arena pertahanan negara. Tambahan pula, sistem pertahanan udara, Capability Development 55 (CAP55) dan penyelenggaraan pesawat SU-30MKM kerap menjadi persoalan hangat, terutamanya dalam konteks ketegangan global seperti konflik Russia–Ukraine.
Sebagai penjaga utama ruang udara negara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memikul tanggungjawab besar yang melangkaui sekadar operasi harian.
Untuk mendapatkan pandangan mendalam mengenai isu ini, wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, menemuramah Panglima Tentera Udara, JENERAL DATUK SERI MUHAMAD NORAZLAN ARIS, bagi menyingkap strategi dan perspektif kepimpinan TUDM dalam memastikan keselamatan udara negara.
Turut membantu jurufoto, ISKANDAR ISHAK dan jurukamera ABDUL RAHMAN RAZALI.
UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri menilai peruntukan RM6 bilion dalam Belanjawan 2026 untuk pertahanan, termasuk pembelian medium-range air defense (MRAD) dan adakah TUDM akan menambah unit berbanding satu bateri sebelum ini?
MUHAMAD NORAZLAN: Untuk fasa ini, jumlah peruntukan sekitar RM1.9 bilion khusus untuk MRAD daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan. Dengan jumlah itu, kita dapat mengoperasikan dua bateri sistem MRAD.
Memang daripada segi keperluan sebenar, dua bateri itu tidak mencukupi tetapi ia satu permulaan. Dengan keupayaan ini, kita rangka satu tugas khas dalam penugasan.
Kita tidak boleh terus membeli semua mengikut keperluan sekali gus kerana melibatkan kos yang tinggi sebaliknya, kemampuan perlu dikembangkan secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Peruntukan ini membolehkan kita memulakan keupayaan pertahanan udara jarak sederhana. Dalam pelan CAP55 contohnya, jika memerlukan enam unit pesawat rondaan maritim (MPA), kita mungkin beli dua dahulu. Bila ada kemampuan, kita tambah dua lagi sehingga akhirnya lengkap enam buah.
Berbalik kepada MRAD, dua bateri yang akan diperoleh menjadi asas keupayaan pertahanan udara jarak sederhana.
Sebelum ini, hanya ada jarak dekat (short range, SHORAD) dan jarak sangat (very short range air defence, VSHORAD).
Dalam struktur pertahanan udara, sebenarnya ada empat lapisan pertama bermula dari VSHORAD, SHORAD, MERAD dan LORAD (Long Range). Jadi, MRAD ini melengkapkan lapisan pertahanan udara di peringkat pertengahan, bersifat lebih kepada defensif, manakala sistem LORAD pula lebih kepada ofensif. Buat masa ini, MERAD keperluan yang sangat penting.
Adakah pasukan uji nilai sudah ditubuhkan dan dari negara mana yang menarik minat TUDM untuk membekalkan MRAD?
Sudah tentu ada pasukan penilai MRAD.Sebelum ini ada satu pasukan permulaan di bahagian perolehan. Apabila kontrak dimeterai, akan ada pasukan pemantauan terdiri daripada pasukan dalam dan luar negara.
Pasukan dalam negara akan mengurus penyelarasan teknikal dan pentadbiran, manakala pasukan luar negara akan berada di lokasi pembekal bagi memantau pembangunan dan integrasi sistem.
Kedua-dua pasukan ini akan berhubung rapat supaya kerja pengujian dan pemeriksaan kualiti berjalan serentak sama ada kerja yang dilaksanakan di Malaysia dan ada kerja yang perlu dilaksanakan di negara pembekal.
Selalunya pasukan ini akan dikekalkan dan akan mengoperasikan MRAD.
Setakat ini, ada beberapa sistem dari negara tertentu yang berjaya menarik minat TUDM namun masih dalam proses penilaian teknikal.
Beberapa negara pengeluar seperti Turkiye dan China sudah menunjukkan minat untuk menawarkan sistem mereka. Namun, kita terbuka kepada semua negara yang mampu memenuhi spesifikasi yang diperlukan. Penilaian awal dilakukan melalui data teknikal dan bukti keberkesanan termasuk rakaman ujian sebenar yang diberikan oleh pengeluar.
Secara umum, kita akan menilai setiap tawaran dari segi kos, keberkesanan, keboleh selenggaraan dan kesesuaian dengan keperluan operasi TUDM.
Mengapa sistem MRAD dibawah TUDM dan bukannya dioperasikan Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) Tentera Darat?
Pertahanan udara merupakan tanggungjawab bersama antara semua cabang perkhidmatan tetapi pengawasan ruang udara sepenuhnya berada di bawah TUDM. Semua sistem radar, sama ada pertahanan atau kawalan trafik udara disepadukan ke dalam satu sistem command and control. Jadi, hanya TUDM yang dapat melihat gambaran menyeluruh di ruang udara negara.
Untuk Tentera Darat dan GAPU khususnya, mereka lebih fokus kepada sistem pertahanan SHORAD dan VSHORAD, manakala TUDM mengawal lapisan pertahanan jarak sederhana dan jauh .
Ini membentuk konsep pertahanan berlapis dengan setiap lapisan melindungi antara satu dengan yang lain. Analoginya sama seperti dalam pasukan bola, ada penyerang, tengah, pertahanan dan penjaga gol, semuanya saling melengkapi.
Sistem konsep pertahanan berlapis ini digunakan semua cabang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya ada liputan bertindih di seluruh kawasan strategik.
Justeru, meletakkan MRAD di bawah TUDM mempunyai alasan kukuh kerana TUDM mempunyai kemampuan radar dan sistem kawalan jauh yang memantau keseluruhan ruang udara negara.
Tambahan pula jika melihat kepada perkembangan global seperti konflik Russia-Ukraine, jelas pertahanan udara menjadi keutamaan utama setiap negara. Maka, memiliki sistem MRAD bukan sahaja meningkatkan kesiapsiagaan tetapi juga melengkapkan struktur pertahanan udara negara secara menyeluruh.
Dengan peningkatan dan perkembangan teknologi terkini terutama dalam aspek penggunaan dron, adakah CAP 55 akan dirombak ?
Peningkatan penggunaan dron dalam konflik semasa memang nyata bukan sahaja di Israel dan Iran, malah dalam konflik seperti Russia–Ukraine dan India -Pakistan.
Daripada situ jelas dron kini menjadi antara elemen penting dalam peperangan moden. Oleh itu, kita perlu mempunyai sistem dron dan juga sistem antidron, yang kini menjadi keperluan di peringkat dunia.Tambahan mula sistem dron murah dan berkesan.
Justeru, menjawab soalan tentang CAP 55, ia perlu dirombak dan diselaraskan mengikut peredaran semasa agar kekal relevan.
Kita nak relevan dengan konsep peperangan masa kini. Maknanya penjajaran semula berdasarkan perubahan persekitaran keselamatan dan keperluan operasi terkini. Tetapi ini tidak bermakna kita ubah semuanya sehingga perlu menukar nama pelan berkenaan.
Walau apa pun, kita sebenarnya sudah mula mengambil langkah ke arah pengoperasian dron kategori pesawat tanpa pemandu (UAV) jenis ANKA yang akan diperoleh nanti dengan berkeupayaan jarak jauh serta dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan sistem khusus untuk tugasan pengawasan.
Jadi boleh dikatakan, ketibaan UAV ANKA ini merupakan langkah pertama ke arah pembangunan keupayaan dron dalam TUDM. Pada masa akan datang, kita mungkin akan menubuhkan unit khas yang akan mengoperasikan sistem dron ini secara penuh di bawah CAP55.
Bagaimana perkembangan terkini perolehan pesawat F/A-18 C/D Kuwait? Bila pegawai TUDM akan ke Kuwait untuk menilai kesesuaian pesawat ini untuk dibeli?
Kita masih berada dalam proses penilaian dan peningkatan maklumat berhubung perolehan pesawat Hornet dari Kuwait.
Proses ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana melibatkan pelbagai peringkat semakan dan penilaian teknikal. Pesawat ini dianggap sebagai stop-gap measure, iaitu penyelesaian sementara bagi mengisi keperluan keupayaan tempur sebelum ketibaan aset baharu.
Baru-baru ini, kita menerima surat rasmi panggilan daripada kerajaan Kuwait untuk melakukan lawatan bagi pemeriksaan fizikal di sana pada 9 hingga 30 November, lalu.
Lawatan ini bukan sekadar menilai keadaan fizikal pesawat tetapi juga meneliti aspek teknikal dan sistem perisian. Sebagai contoh, pesawat Kuwait menggunakan konfigurasi dan perisian yang berbeza daripada sistem kita. Jadi kita perlu menilai sama ada penggunaan perisian mereka dibenarkan dan jika tidak, apakah langkah penyesuaian yang perlu diambil.
Selain itu, kita perlu menilai aspek sokongan jangka panjang (supportability). Program perolehan ini bermula sekitar 2017. Kita perlu menilai sama ada masih berbaloi dilaksanakan memandangkan jangka hayat operasi pesawat tersebut semakin singkat. Kalau tempoh penggunaannya tidak lama, mungkin tidak berbaloi dari segi kos dan penyelenggaraan.
Perlu mengambil kira kemampuan untuk menyelenggara dan mengekalkan pesawat-pesawat ini dalam jangka panjang. Difahamkan terdapat 21 buah pesawat yang masih beroperasi daripada keseluruhan 38 buah pesawat Kuwait, selebihnya sudah dilupuskan. Jadi, perlu meneliti sama ada bilangan itu mencukupi dan sama ada kita mampu mengekalkannya dengan baik.
Perlu juga difahami F/A-18C/D Hornet yang digunakan kita tidak sama dengan F/A-18E/F. Kedua-dua platform ini berbeza dari segi struktur dan sistem, jadi aspek penyelenggaraan dan sokongan logistik juga tidak sama. Ini antara perkara yang perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan muktamad.
Namun begitu, saya tidak kata kita menolak pilihan ini. Kita sedang menilai dengan berhati-hati kerana kita tidak mahu buat keputusan silap.
Seandainya pesawat Kuwait tidak sesuai, apakah pilihan yang ada? Adakah wajar pembelian pesawat baharu seperti Super Hornet atau membuat perolehan bagi pesawat MRCA jenis yang lain ?
Setakat ini tiada perbincangan mengenai hal itu. Sekiranya tidak berjaya, kita kena tengok pilihan lain sebab kekangan (jumlah pesawat)..
Sama ada kita beli pesawat baharu atau perlu membeli Super Hornet, itu sebahagian pilihan. Mungkin ada peluang-peluang lain yang dapat memenuhi keperluan TUDM.
Pandangan berkenaan tawaran sewaan pesawat pejuang sebagaimana yang pernah ditawarkan SAAB Gripen satu ketika dahulu secara pakej dengan pesawat Sistem Amaran Awal dan Kawalan Udara (AEWC) Erieye?
Ia antara pilihan yang ada, bukan hanya satu-satunya (pilihan). Lagipun kita sentiasa terbuka kepada pelbagai pilihan lain.
Kita tidak boleh bersikap tertutup (dalam soal pemilihan pesawat). Namun, persoalan utama adakah keperluan itu mendesak? Jika benar mendesak, maka perlu tentukan bagaimana untuk memenuhi keperluan tersebut termasuk daripada segi kewangan dan teknikal.
Akhirnya nanti keputusan pembelian di tangan kerajaan. Bagi TUDM, tugas kita ialah mengusulkan cadangan, menyediakan spesifikasi dan menilai pilihan yang wajar. Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu berdasarkan perancangan, bajet dan kepentingan strategik negara.
Selain aspek pesawat itu sendiri, terdapat banyak perkara lain yang perlu diambil kira seperti perkongsian teknologi, kemampuan sokongan tempatan dan nilai tambah ekonomi. Apabila berbincang dengan negara penjual, bukan sahaja soal jual beli aset semata-mata tetapi juga hal pemindahan teknologi dan pembangunan industri pertahanan tempatan. Ini penting kerana nilai sesuatu perolehan akan menjadi lebih besar jika ia turut menyumbang kepada pembangunan kapasiti dan ekonomi negara.
Jadi, kita terbuka kepada pilihan lain (termasuk Gripen). Kita juga akan menilai pelan lain jika perlu dan segala cadangan akhirnya akan dibawa kepada kerajaan untuk membuat keputusan.
Dalam menilai setiap pilihan, kita tidak hanya melihat keupayaan pesawat tetapi juga aspek sokongan, pemindahan teknologi dan nilai strategik jangka panjang.
Bagaimana proses untuk mendapatkan alat ganti pesawat pejuang SU30MKM setakat ini sejak berlakunya perang Ukraine dan Russia. Adakah TUDM berdepan detik kesukaran?
Saya akui memang terdapat cabaran dalam mendapatkan alat ganti pesawat SU30MKM akibat situasi semasa antara Russia dan Ukraine. Namun, kita mengambil beberapa pendekatan untuk mengurangkan kesan ini.
Antaranya, kita meneliti bagaimana negara lain yang juga mengoperasikan pesawat SU-30 menguruskan hubungan logistik mereka. Sebagai contoh, India juga mengoperasikan pesawat SU-30, malah mereka mempunyai lesen untuk membangun dan mengeluarkan komponen sendiri. Jadi, kita sedang meneliti bidang atau ruang kerjasama yang boleh diwujudkan dengan India bagi mendapatkan sokongan logistik dan teknikal.
Contoh, jika sebelum ini kita hanya menghantar penyelenggaraan ke Russia, kini kita menilai kemungkinan menghantar komponen tertentu ke India kerana mereka menggunakan model dan komponen yang hampir sama. Ini dapat membantu mengelak isu kekurangan serta memastikan kesinambungan penyelenggaraan.
Selain India, kita juga meneliti negara lain yang mempunyai kemahiran atau keupayaan dalam penyelenggaraan pesawat jenis ini. Contoh, terdapat kemudahan penyelenggaraan di Belarus dan juga India, yang pernah menjadi pusat baik pulih bagi pesawat SU-27 dan SU-30. Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara varian pesawat tersebut, kita sedang menilai sejauh mana kemudahan itu boleh dimanfaatkan.
Selain itu, kita juga sedang meneroka kemampuan dalam negara. Beberapa kerja penyelenggaraan asas dan baik pulih komponen tertentu mula dilaksanakan secara tempatan, terutamanya yang melibatkan sistem paparan dan elektronik. Ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan kepada Russia dan pada masa sama memperkukuh industri pertahanan tempatan.
Adakah wajar MiG 29N dijual kepada negara lain atau timbal beli dengan Russia untuk mendapat pesawat lain dari negara berkenaan, mungkin SU-35 atau SU-57 ?
Ya, memang benar. Asalnya, pesawat MiG-29N yang kita miliki itu memang dirancang untuk dijual melalui pertukaran timbal balik.
Namun begitu, proses ini tidak boleh dijalankan sewenang-wenangnya kerana melibatkan peraturan antarabangsa dan sensitiviti diplomatik. Contoh, bagi pesawat buatan Amerika Syarikat (AS), sebarang penjualan semula mesti dimaklumkan dan mendapat kelulusan daripada pihak asal pengeluar. Perkara yang sama turut terpakai bagi pesawat buatan Russia seperti MiG-29N.
Pihak Russia sendiri menghantar surat rasmi kepada kita menyatakan mereka tidak mempunyai halangan jika Malaysia ingin menjual pesawat tersebut. Namun,menegaskan mereka perlu diberitahu kepada siapa pesawat itu akan dijual. Ini adalah prosedur biasa bagi mengelakkan pesawat dijual kepada pihak yang mungkin dianggap sebagai musuh atau tidak bersesuaian dari sudut geopolitik.
Jadi, dalam hal ini, kita perlu berhati-hati dan mengambil kira sensitiviti antarabangsa. Kita mahu pastikan semua urusan dibuat secara telus dan mengikut saluran yang betul.
Buat masa ini, pesawat-pesawat MiG-29N tersebut berada dalam keadaan preservasi (penyimpanan terkawal). Pesawat ini memang tidak lagi digunakan untuk operasi aktif dan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dengan lebih kurang 16 buah disimpan di sana.
Kita bercadang untuk membuka tender kepada mana-mana negara yang berminat untuk membeli, tertakluk kepada kelulusan rasmi kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Russia. Setakat ini, terdapat beberapa pihak dari negara-negara Afrika yang menunjukkan minat .
Dahulu, India juga pernah menyatakan minat untuk mendapatkan pesawat MiG-29N ini, namun tiada sebarang keputusan muktamad dibuat. Semua proses ini perlu melalui penilaian dan kelulusan pelbagai peringkat, termasuk daripada pihak kerajaan dan agensi antarabangsa yang berkaitan.
Jadi, secara ringkasnya, pesawat MiG-29N masih dalam status penyimpanan dan penjualan semula masih dibuka, tertakluk kepada kelulusan rasmi serta keperluan semasa negara. – UTUSAN










