Transformasi pendidikan tinggi menuju Malaysia maju

Transformasi pendidikan tinggi menuju Malaysia maju

PELAN Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 perlu memberi fokus melahirkan insan beradab yang mampu memacu kemajuan negara. – FACEBOOK DATUK SERI DR. ZAMBRY AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN kini sedang merangka Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035, sebuah dokumen dinamik yang akan menjadi panduan utama pembangunan pendidikan tinggi negara untuk dekad akan datang. 

Pelan ini bukan sekadar kesinambungan PPTM  2015-2025 tetapi merupakan transformasi menyeluruh yang mengambil kira cabaran pasca normal, teknologi baharu serta tuntutan global terhadap kelestarian dan kesejahteraan manusia.

Berasaskan holistik dan berpaksikan kemanusiaan, PPTM 2026-2035 akan bermula. Pendidikan tinggi tidak lagi dilihat hanya sebagai laluan akademik sebaliknya sebagai wadah melahirkan insan berilmu, beretika, berbudaya, berdaya saing dan berdaya tahan. 

Fokus utama pelan ini termasuk juga pembangunan bakat masa hadapan dengan kemahiran digital, teknikal, insaniah dan keusahawanan, integrasi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), data raya dan teknologi maklumat dalam kurikulum universiti. 

Kelestarian alam sekitar melalui penyelidikan iklim, kepelbagaian biologi dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi juga perlu ditumpukan. 

Penyelarasan laluan akademik dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi kini di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memastikan keseragaman, kualiti akademik serta keadilan dalam kemasukan ke universiti.

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan pembangunan digital, AI dan inklusiviti pendidikan mesti bermula dengan PPTM 2026-2035. 

Peruntukan dana yang besar dalam RMK13 untuk infrastruktur sekolah, pembangunan guru dan integrasi teknologi dalam pembelajaran mesti melengkapkan agenda ini dengan memastikan universiti menjadi pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan bakat.

Selain itu, PPTM 2026-2035 turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti (SDG 4), tindakan iklim (SDG 13), keterjaminan makanan (SDG 2), tiada kemiskinan (SDG 1) dan kesihatan awam (SDG 3). 

Universiti akan menjadi pemacu utama dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang menyumbang kepada pencapaian SDG di peringkat nasional dan serantau.

Era pasca normal dicirikan oleh ketidakpastian, perubahan pantas dan krisis global yang sukar diramal. Dalam konteks ini, generasi muda menjadi aset paling penting. 

Pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) perlu diperkukuh agar mereka mampu menghadapi cabaran iklim, teknologi baharu dan geopolitik serantau.

Namun, cabaran besar kerajaan ialah menyediakan generasi muda bukan sahaja dengan kemahiran teknikal tetapi juga kepemimpinan, politik, budaya bangsa dan nilai etika. Tanpa asas ini, pembangunan teknologi boleh menjadi rapuh dan tidak berakar pada kesejahteraan masyarakat.

Sejak 1990-an, dunia bercakap tentang maklumat yang merentasi sempadan. Kini, dua cabaran besar masa hadapan ialah teknologi AI dan perubahan iklim. 

AI menjanjikan kecekapan dan inovasi tetapi tanpa data yang lengkap dan tepat boleh menghasilkan keputusan berat sebelah. Perubahan iklim pula membawa tekanan kepada alam sekitar, pemanasan global, cuaca tidak menentu dan kehilangan kepelbagaian biologi yang memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia.

Oleh itu, PPTM 2026-2035 mesti memastikan universiti melahirkan graduan yang mampu menguasai teknologi AI dengan etika dan tanggungjawab, sambil menjadi pemimpin dalam penyelidikan iklim dan kelestarian.

Sumber manusia masa hadapan perlu dirancang dengan teliti. Malaysia mesti melahirkan tenaga kerja berpengetahuan tinggi, berkemahiran digital dan berdaya saing global. 

Dalam masa sama, profesor bersara boleh memainkan peranan penting mengisi jurang kepakaran, khususnya dalam bidang kritikal seperti sains iklim, kepelbagaian biologi, teknologi maklumat dan industri halal. Pengalaman mereka adalah aset yang tidak boleh dipersiakan.

Keberkesanan AI hanya dengan data yang dimilikinya. Oleh itu, PPTM 2026-2035 perlu menekankan pengumpulan data asas yang berkualiti dan betul untuk membantu AI dalam membuat keputusan yang adil lagi tepat. Keseimbangan dan keadilan dalam keputusan AI mesti dijamin melalui tadbir urus data yang telus dan beretika.

 

PENGUKURAN KEJAYAAN MELALUI KPI

Pencapaian PPTM 2026-2035 boleh diukur melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang selari dengan cabaran global, termasuk literasi AI serta digital dalam kalangan graduan, penyelidikan berimpak dalam bidang iklim, kesihatan dan keterjaminan makanan, pembangunan industri halal sebagai pemacu ekonomi serta inklusiviti pendidikan untuk semua lapisan masyarakat.

Etika dalam menguruskan data dan AI, pembangunan sains dan teknologi, kelestarian alam sekitar, keterjaminan makanan serta kesihatan awam mesti menjadi fokus utama PPTM 2026-2035. Semua kumpulan saintis, termasuk saintis Islam, perlu ke hadapan melihat pembangunan sains dan teknologi sebagai komponen utama pelan ini.

Hanya dengan cara ini, PPTM 2026-2035 dapat menjamin kesejahteraan manusia, kestabilan ekonomi, keamanan serantau dan ekosistem yang stabil. 

PPTM 2026-2035 adalah pelan strategik yang bukan sahaja membina sistem pendidikan tinggi yang relevan dan berdaya saing tetapi juga memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran besar abad ini. 

Dengan KPI yang jelas, tadbir urus data beretika dan pembangunan sumber manusia holistik, Malaysia mampu melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, berkemahiran serta beretika demi kesejahteraan negara mahupun  dunia. 

Semua pemimpin universiti mesti disemak kemampuan mereka melaksanakan PPTM 2026-2035.-UTUSAN

 

DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×