SEPANG: Ratu tenpin boling negara, Natasha Roslan memberi amaran kepada skuad wanita supaya tidak memandang mudah Singapura yang dijangka menjadi pencabar utama di Sukan SEA 2025 di Thailand yang akan membuka tirai esok.
Beliau menegaskan, setiap pasukan di temasya nanti berpotensi mencabar, justeru penting untuk pemain kekal fokus dan bersedia menghadapi saingan sengit.
Semangat untuk meraih pingat emas kian membara selepas dia bersama rakan sepasukannya, Sin Li Jane, Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia Norakmal, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meraih perak pada Kejohanan Dunia setelah tewas kepada Amerika Syarikat (AS) 1-2 di Hong Kong Jumaat lalu.
“Untuk sekarang, saya rasa kita dengan pasukan semua berada dalam landasan tepat. Harap kami dapat mengekalkan momentum ini dan Isnin (hari ini) kami sudah mula berlatih.
“Kalau momentum ini berterusan, pingat itu ada. Kami tidak pasti warna apa sebab format Sukan SEA hampir sama dengan Kejohanan Dunia juga,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Hong Kong, kelmarin.
Skuad wanita yang akan mewakili negara di Sukan SEA 2025 terdiri daripada Natasha Roslan, Sin Li Jane, Nur Hazirah Ramli dan Adania Mohd Redzwan, dengan acara berpasukan lelaki dan wanita bermula 18 Disember dan final dijangka berlangsung pada hari seterusnya.
Dalam pada itu, Natasha menekankan kepentingan mengekalkan semangat kerjasama dalam pasukan dan memberi tumpuan kepada kejayaan berpasukan berbanding individu.
“Acara berpasukan tetap keutamaan sebab semua orang bawa balik pingat, kalau dapat individu pula itu semua bonus sahaja,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia memenangi dua pingat perak dalam acara berpasukan wanita dalam dua edisi berturut-turut di Vietnam 2021 dan Filipina 2019 selepas edisi lalu di Kemboja 2023 tidak dipertandingkan. – UTUSAN










