PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara perlu segera memperkukuh benteng pertahanan menjelang pertembungan getir menentang Vietnam pada aksi kedua Kumpulan B Sukan SEA 2025 pada Khamis ini.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kemenangan besar 4-1 ke atas Laos pada aksi pembukaan semalam adalah petanda positif, namun beliau memberi amaran bahawa kelemahan pertahanan yang ditonjolkan bakal merugikan jika tidak diperbaiki segera.
“Walaupun kita menang 4-1, saya lihat pertahanan kita perlu lebih kuat. Lawan seperti Vietnam yang lebih berpengalaman pasti akan memanfaatkan sebarang ruang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jurulatih berpengalaman itu menegaskan, dibolosi seawal separuh masa pertama oleh Laos menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama dari aspek disiplin pertahanan.
“Kalau barisan pertahanan kita tidak bersedia ketika itu, kita akan dihukum oleh Vietnam,” jelasnya.
Selain pertahanan, Wan Jamak turut menekankan pentingnya pasukan memperkemaskan corak serangan melalui kombinasi pergerakan dan variasi posisi pemain untuk mengelirukan barisan lawan.
“Gol kita banyak datang dari situasi bola mati seperti sepakan percuma dan hantaran lintang. Itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Mengenai peluang melangkah ke peringkat separuh akhir, Wan Jamak yakin dengan kelebihan jaringan yang ada, pasukan negara hanya memerlukan keputusan seri untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
“Namun bola itu bulat. Kita mesti elakkan kesilapan yang tidak perlu terutama dari penjaga gol hingga ke penyerang,” ujarnya.
Wan Jamak turut mengakui Vietnam kini berada pada tahap yang lebih tinggi dari segi ranking dan kualiti pemain muda yang berjaya melangkah ke kejohanan Asia, berbeza dengan pasukan negara yang belum layak ke peringkat itu.
“Ini cabaran sebenar buat Harimau Muda. Kita perlu buktikan kita juga ada kualiti untuk mara lebih jauh,” katanya. – UTUSAN










