PETALING JAYA: Kem terjun negara menutup tirai Sukan SEA 2025 dengan dua pingat emas dan satu gangsa, satu keputusan yang mendedahkan realiti baharu bahawa kelebihan tradisi Malaysia di rantau ini tidak lagi kebal.
Lebih merisaukan, kegagalan menyapu bersih emas buat kali pertama sejak Sukan SEA Myanmar 2013 memberi isyarat jelas bahawa jurang prestasi dengan pencabar serantau semakin mengecil.
Pengarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee berkata tahap penerjun rantau Asia Tenggara semakin meningkat seiring dengan skuad terjun mengalami fasa peralihan.
“Kami sedar sejak awal bahawa tahap penerjun dari negara Asia Tenggara lain sudah meningkat dan ini bukan sesuatu yang berlaku secara mengejut.
“Penilaian dalaman kami menunjukkan penerjun junior masih kekurangan pengalaman bertanding dan tahap kesukaran terjunan perlu ditingkatkan jika mahu kekal mendahului pada masa depan,” kata Ken Nee kepada Mingguan Malaysia.
Ken Nee menjelaskan keputusan memberi peluang kepada penerjun pelapis adalah langkah berisiko yang sengaja diambil bagi mengukur kedudukan sebenar Malaysia di peringkat serantau.
Beliau mengakui tekanan tinggi sepanjang temasya itu menjadi ujian mental yang mendedahkan kelemahan konsistensi selepas emas terlepas dalam dua hari awal pertandingan.
“Walaupun kami berpuas hati dengan kekuatan mental penerjun wanita pada hari terakhir, hakikatnya masih banyak aspek teknikal yang perlu diperbaiki secara menyeluruh.
“Setiap kejohanan akan melalui proses bedah siasat kerana kita tidak boleh lagi bergantung kepada reputasi lama semata-mata,” katanya.
Prestasi dua emas dan satu gangsa itu juga memperlihatkan keperluan mendesak untuk mempercepat pembangunan atlet pelapis menjelang Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur. – UTUSAN










