Malaysia optimis juara Sukan SEA 2027

Malaysia optimis juara Sukan SEA 2027

Dr. Mohammed Taufiq Johari bergambar bersama atlet pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Tahun 2026 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 ketika Malaysia menganjurkan temasya dwitahunan itu sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2017.

Penganjuran Sukan SEA 2027 akan diadakan pada 18 hingga 29 September 2027 dan itu bermakna Malaysia hanya mempunyai masa 20 bulan untuk melakukan persiapan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, beliau optimis untuk mencapai sasaran juara keseluruhan berdasarkan garis masa yang ditetapkan serta mendapat kerjasama daripada semua pihak.

“Insya-Allah kita tidak berganjak daripada itu. Kita sangat optimis untuk mengekalkan kejuaraan dan juga ranking kita insya-Allah. 

“Kita akan memastikan negara Malaysia menjadi yang terbaik dalam Sukan SEA 2027 tapi yang pastinya garis masa kita jelas. Kita perlu kerjasama daripada semua pihak khususnya di bawah KBS,” katanya kepada pemberita selepas majlis amanat bersama atlet negara di Bukit Jalil, hari ini.

Sembilan tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan di Sukan SEA ke-29 dengan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa bagi muncul juara keseluruhan.

Ketika itu, Malaysia diwakili 844 atlet menyertai 398 dari 404 acara membabitkan 38 jenis sukan.

Dalam perkembangan berasingan, Taufik turut mengumumkan penambahbaikkan terhadap Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi pemenang pingat gangsa Sukan SEA dinaikkan kepada RM1,000 manakala pingat emas kekal RM20,000 dan perak RM3,000.

“Keputusan ini dibuat susulan cadangan penambahbaikan SHAKAM yang kali terakhir disemak pada 2014 agar ia kekal relevan dan selari dengan keperluan semasa atlet negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN