GEORGE TOWN: Pembangunan sukan akar umbi, kebajikan atlet dan penglibatan belia tidak berpersatuan menjadi tiga fokus utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Belanjawan 2027.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, cadangan itu sedang diperincikan berdasarkan pandangan belia yang dikumpulkan menerusi Jelajah Belanjawan Belia Madani di enam zon seluruh negara.
Katanya, jelajah berkenaan dijangka selesai bulan ini sebelum hasilnya dimuktamadkan untuk dibawa kepada Kementerian Kewangan (MOF).
“Keutamaan KBS ialah memastikan ruang untuk masyarakat bersukan sentiasa ada supaya kita dapat melahirkan atlet pelapis bermula dari akar umbi.
“Sebab itu, dana, geran, sukan komuniti dan geran padanan sukan antara platform yang kita mahu gunakan untuk menggalakkan lebih ramai menyertai aktiviti sukan,” katanya selepas menghadiri majlis Flag Off Oregon Tower Run Series @ The Top Penang, di sini hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, kebajikan atlet termasuk mereka yang sudah bersara atau pernah berjasa kepada negara turut diberi perhatian menerusi Yayasan Kebajikan Atlet di bawah KBS.
Katanya, kementerian turut mengambil kira pandangan persatuan sukan, pertubuhan belia serta belia luar bandar dan mereka yang tidak menyertai mana-mana persatuan.
“Persatuan sukan banyak memohon dan kita sedang menilainya. Pertubuhan belia kita dengar, begitu juga belia luar bandar dan belia tidak berpersatuan,” katanya.
Beliau berkata, rangka awal cadangan Belanjawan 2027 KBS sudah dibincangkan bersama MOF dan perbincangan lanjut akan diteruskan sebelum pembentangan belanjawan di Parlimen pada 9 Oktober depan.
Dalam pada itu, beliau berkata KBS merancang memperluas program jelajah ke seluruh negara tahun depan bagi mendekati lebih ramai anak muda.
“Kita mahu bertemu seramai mungkin anak muda melalui aktiviti berskala besar dan kecil supaya kita dapat menyantuni setiap anak muda,” katanya. – UTUSAN










