Persiapan 'celaru' tidak halang skuad B-23 baham Laos

Persiapan ‘celaru’ tidak halang skuad B-23 baham Laos

Pemain skuad bawah 23 tahun negara meraikan kejayaan menewaskan Laos 4-1 dalam aksi Kump;ulan B Sukan SEA di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, kelmarin. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berdepan persiapan yang penuh berliku tidak menghalang skuad bawah 23 (B-23) negara mempamerkan aksi cemerlang selepas meraih kemenangan  4-1 ke atas Laos dalam aksi pembukaan Kumpulan B Sukan SEA 2025 kelmarin. 

Walaupun terpaksa berdepan kekangan serius seperti isu pelepasan pemain, jadual liga yang bertindih serta kerap berpindah-pindah pemain mengikut keperluan kelab masing-masing, anak buah Nafuzi Zain tetap buktikan mereka tidak mudah rebah.

Pengendali skuad B-23 itu mengakui, persiapan kali ini memang paling mencabar berbanding dua kejohanan sebelumnya. 

“Dua kejohanan lepas persiapan kami lebih teratur, tapi keputusan kurang memuaskan. Kali ini, walaupun persiapan terjejas, kemenangan ini beri ruang untuk kami terus mara,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia yang bermula goyah selepas bolos awal pantas bangkit dengan karakter juang tinggi apabila berjaya menjaringkan empat gol sekaligus menceriakan peminat yang mulai risau.

“Ia bukan perlawanan yang mudah. Seperti yang anda lihat pada permulaan permainan, kami ketinggalan 1-0, dan itu memberikan tekanan kepada pasukan. 

“Namun, kami tidak putus asa. Kami terus berjuang, dan akhirnya memperoleh kemenangan 4-1. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan para pemain,” katanya.

Gol disumbangkan oleh Haykal Danish, Haqimi Rosli, Moses Raj dan Abu Khalil, manakala Laos hanya mampu membalas satu gol melalui Bounphaeng Xaysombath.

Walaupun dua tonggak utama dilaporkan cedera dan status mereka untuk perlawanan seterusnya menentang Vietnam masih samar, Nafuzi tetap optimis mampu pamer aksi terbaik.

“Untuk perlawanan seterusnya menentang Vietnam, kita belum tahu keadaan dua pemain itu. Kalau makin berkurangan sekalipun, apa pun situasi kita mesti teruskan perjuangan,” katanya.

Malaysia berada di tangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata mengiringi Vietnam yang turut mengumpul mata sama tetapi dibezakan dengan jaringan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN