VIENTIANE: Empat lagi lelaki yang terperangkap selama 10 hari di dalam sebuah gua yang separa ditenggelami air di Laos berjaya diselamatkan pada Sabtu, kata pasukan penyelamat, selepas seorang lagi mangsa berjaya dibawa keluar sehari sebelumnya.
Namun, dua individu masih belum ditemui.
Lee Kian Lie, seorang penyelam penyelamat dari Malaysia, memberitahu AFP menerusi aplikasi Messenger bahawa keempat-empat mangsa berjaya dikeluarkan selepas air dipam keluar dari gua berkenaan.
Video yang dirakamnya di lokasi menunjukkan pasukan perubatan di bawah khemah sementara sedang memberikan rawatan kepada empat individu yang berbaring di atas pengusung dan diselubungi selimut haba.
“Yang penting mereka sudah keluar,” kata Lie.
Beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan dua lagi individu yang masih hilang.
Laman Facebook Thailand Rescue Diver dalam satu hantaran memaklumkan bahawa pegawai-pegawai penyelamat berjaya membawa keluar empat lagi individu yang terperangkap kira-kira jam 3.10 petang waktu tempatan pada Sabtu.
“Setakat ini, lima orang telah berjaya diselamatkan, manakala dua lagi masih hilang,” menurut hantaran itu.
Tujuh lelaki dilaporkan terperangkap di dalam gua berkenaan di kawasan pergunungan terpencil wilayah Xaysomboun sejak 20 Mei lalu ketika mereka mencari emas, menurut laporan awal media kerajaan.
Mereka terperangkap selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat yang menutup laluan keluar dari gua tersebut.
Lima daripada mereka ditemui masih hidup pada Rabu lalu dalam keadaan berhimpit di satu ruang sempit kira-kira 300 meter dari pintu masuk gua.
Pada Jumaat, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar seorang lelaki yang kelihatan lemah dan berlumpur melalui laluan yang sukar sebelum dibawa ke tempat selamat.
Usaha menyelamat tertumpu kepada kerja mengepam keluar air banjir musim monsun yang memerangkap kumpulan itu. – AFP










