PETALING JAYA: Seramai enam pemain remaja dipanggil menyertai kem latihan pasukan hoki kebangsaan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac ini.
Enam pemain tersebut adalah penjaga gol; Haziq Muizuddin, pertahanan; Andywalfian Jeffrynus, Azimuddin Syakir, tengah; Adam Ashraf Johari, Addy Jazmi Jamlus dan penyerang; Danish Aiman Khairil Anuar yang beraksi di Piala Dunia Remaja Lelaki 2025, Chennai, baru-baru ini.
Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh berkata, gabungan pemain senior dan muda merupakan salah satu perancangan pasukan bagi memastikan kesinambungan berterusan dalam skuad kebangsaan.
Tambah Sarjit, dia yakin gabungan tersebut mampu menghadirkan keputusan segera dalam mencapai matlamat pertama musim 2026 iaitu layak ke Piala Dunia di Belgium dan Belanda pada 15 hingga 30 Ogos 2026.
“Kami inginkan suntikan baru dalam pasukan dan hadirnya enam pemain-pemain muda ini memberikan sesuatu yang baru dan lebih segar buat pasukan.
“Ini juga akan menghadirkan saingan kompetitif yang lebih sihat, di mana setiap pemain pasti akan bekerja lebih keras untuk memastikan tempat mereka dalam pasukan kebangsaan.
“Pemain-pemain muda ini telah dinilai berdasarkan prestasi mereka, disiplin yang ditunjukkan selain bagaimana mereka memahami taktikal permainan,” katanya.
Sebagai persiapan Sarjit dan pemainnya akan ke Perth, Australia, Januari ini bagi menghadapi lima siri aksi persahabatan menentang pasukan kebangsaan Australia dan Kelab Western Australia. – UTUSAN










