PETALING JAYA: Skuad hoki 5 sebelah (5s) wanita negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke final Sukan SEA 2025 apabila dijadual bertemu Filipina dalam aksi separuh akhir temasya.
Bagaimanapun, jurulatih negara, G Sasitheran menegaskan dia tidak akan memandang rendah terhadap keupayaan lawan apabila dijadual beraksi di Stadium Hoki Royal Thai Air Force, hari ini.
Itu merupakan kali kedua Malaysia menentang Filipina selepas kali pertama skuad negara melakar kemenangan besar 13-0 pada pusingan awal.
“Namun, di separuh akhir semua pasukan ada peluang. Kita tak boleh anggap itu satu laluan mudah. Kita hanya perlu fokus kepada perlawanan untuk ke pusingan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Sasitheran turut berkata, dia mahu pemainnya memanfaatkan rehat sehari diberikan oleh penganjur untuk mengenali lawan dengan lebih baik.
“Kepada pemain, mereka perlu lebih fokus. Kita ada satu hari rehat dan saya harap pemain untuk menggunakan masa ini untuk menganalisis pasukan lawan supaya bersedia dan mantap untuk kita mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Bagi kategori lelaki turut menyaksikan Malaysia bertemu Filipina di peringkat separuh akhir kejohanan.
Sebagai rekod, sukan hoki 5s pertama kali dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu. – UTUSAN










