Peluang Pearly-Thinaah cipta sejarah

Peluang Pearly-Thinaah cipta sejarah

Pearly Tan-M. Thinaah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah di landasan terbaik untuk mencipta sejarah mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China.

Jika berjaya berbuat demikian, maka, Pearly-Thinaah akan menjadi beregu wanita pertama Malaysia berbuat demikian sejak WTF diperkenalkan pada 2018.

Semalam, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama melakar kemenangan kedua selepas membenam gandingan No. 6 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun 21-13, 21-18 dalam masa 52 minit pada perlawanan Kumpulan A.

Kemenangan itu meletakkan kedua-dua pasangan itu di kedudukan teratas kumpulan, selepas mengejutkan beregu tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-17, 21-11 kelmarin.

Hari ini, Pearly-Thinaah bakal menutup aksi Kumpulan A menentang satu lagi beregu Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang menghuni ranking No. 5 dunia.

Walaupun atas kertas Pearly-Thinaah boleh dikatakan ‘sebelah kaki’ mara ke separuh akhir tetapi kemenangan ke atas Fukushima-Matsumoto amat penting bagi menentukan kedudukan selaku juara kumpulan sekali gus mencari laluan lebih mudah di peringkat kalah mati.

Dengan Fukushima-Matsumoto dan Yi Fan-Shu Xian, masing-masing mencatat satu kemenangan serta satu kekalahan, ini bermakna keputusan beregu yang bakal mara ke separuh akhir hanya dapat dimuktamadkan, hari ini.

Pearly ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir berkata, mereka tidak mempunyai pencapaian yang baik sejak kali pertama melayakkan diri pada tahun lalu.

“Kami tidak selalu menang dalam Jelajah Dunia, tetapi, kali ini kami menang dua perlawanan dalam straight set, saya rasa kejayaan itu amat bermakna buat kami dan sekali gus meningkatkan keyakinan,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×