Mengapa Pakistan mahu kaji epik Hindu?

Mengapa Pakistan mahu kaji epik Hindu?

UNIVERSITI Sains Pengurusan Lahore (LUMS) merancang memperkenalkan pengajian teks Mahabharata dan Bhagavad Gita pada masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Universiti Sains Pengurusan Lahore (LUMS) di Punjab, Pakistan  mengumumkan subjek bahasa Sanskrit diajar di institusi pengajian tinggi itu. Berita ini mendapat liputan meluas kerana ramai hairan mengapa sebuah negara Islam memberi perhatian kepada bahasa yang lazim dikaitkan dengan agama Hindu.

Profesor Madya Dr. Shahid Rasheed yang memulakan inisiatif berkenaan memberitahu wartawan, tapak Tamadun Lembah Indus yang dikaitkan dengan perkembangan agama Hindu sebenarnya terletak di Pakistan.

Pengarah Pusat Gurmani LUMS, Dr. Ali Usman Qasmi pula mengingatkan, ada banyak koleksi manuskrip tulisan Sanskrit di perpustakaan Universiti Punjab, Pakistan tetapi tidak dimanfaatkan pengkaji tempatan.

Memandangkan India, Pakistan dan Bangladesh berasal daripada sebuah negara yang sama, tentulah banyak persamaan budaya, sejarah, bahasa dan tradisi masih wujud. Walaupun tentu wujud isu politik, nampaknya bahasa Sanskrit merintis jalan penyatuan.

Bagi Malaysia, Indonesia dan Thailand, pengaruh bahasa Sanskrit, budaya India serta agama Hindu-Buddha bukan sesuatu yang baharu. Pelbagai rencana berkaitan topik itu juga pernah saya kongsi menerusi ruangan ini sejak Julai 2020.

Berbalik kepada pengajian di LUMS, universiti itu turut merancang memperkenalkan pengajian teks Mahabharata dan Bhagavad Gita pada masa depan. Langkah berkenaan mungkin mengundang pertanyaan kerana kedua-dua teks Sanskrit itu tepu dengan ajaran agama dan falsafah Hindu.

Namun begitu, sekiranya difikirkan dengan teliti, Mahabharata dan Bhagavad Gita tidak asing di seluruh dunia. Kedua-duanya sudah diterjemah kepada pelbagai bahasa utama dunia. Kedua-dua teks itu juga diminati di China, Jepun dan Taiwan.

Pada 5 Disember lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menghadiahkan senaskhah Bhagavad Gita edisi bahasa Rusia kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin di Delhi.

Di Indonesia, Kakawin Bharatayuddha masih diraikan, khususnya di Jawa dan Bali. Dari sana, muncul pula Hikayat Pandawa Lima dan Hikayat Pandawa Jaya yang turut terkenal dalam kalangan orang Melayu di Malaysia.

Biasanya, orang ramai membaca Mahabharata bermula dengan kisah Pandu iaitu bapa kepada Arjuna dan adik-beradiknya yang dikenali sebagai Pandawa. 

Epik Ramayana pula dinikmati mulai kisah kelahiran Rama dan adik-beradiknya.

Dalam buku berjudul Ramayana dan Mahabharata (2019), saya sengaja menceritakan semula kisah-kisah yang berlaku jauh sebelum kelahiran Rama dan Arjuna bersumberkan teks asal yang kurang diketahui umum.

 

INSPIRASI

 

Sesungguhnya, Mahabharata memberi inspirasi kepada beberapa penulis di Malaysia. Misalnya, Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan menulis cerpen Fikir Yuyutsu (Sesudah Perang, 1978) dengan mengangkat satu watak sampingan dalam epik berkenaan.

Cerpen Musim Yuda (Yuda, 1992) oleh Zaen Kasturi berkisar tentang perang (yuddha, yudham) dan segera mengingatkan saya kepada perang besar (maha yuddha) dalam Mahabharata

Saya pula menulis cerpen Laksamana Arjuna (Pulau Pendatang, 2015) dengan mengangkat watak Vrihanala yang kurang dikenali.

Menerusi cerpen Krishna: Potret Diri (Dewan Budaya, Oktober 1994), saya melakukan parodi terhadap watak Krishna dengan membayangkan sebuah kisah rekaan berlaku di negeri Perak.

Epik Mahabharata hampir 10 kali lebih panjang jika Iliad dan Odyssey digabungkan, sekali gus diiktiraf puisi terpanjang di dunia. Ia terdiri daripada 18 parva (bahagian). Bahagian keenam dinamakan Bhisma Parva dan terdiri daripada empat bab.

Teks Bhagavad Gita sebenarnya Bab Tiga dalam Bahagian Bhisma Parva tetapi mampu berdiri sendiri sebagai sebuah kitab. Teks itu pula terdiri daripada 18 unit (yoga) melibatkan dialog antara watak Arjuna dan Krishna.

Saya menulis cerpen Perang dalam Minda (Dewan Masyarakat, Januari 2019) bagi mengangkat kisah Mahabharata tetapi bercerita tentang sebuah keluarga Tamil dari Sri Lanka.

Cerpen itu termuat juga dalam Busana Bahasa (2019) dan Putaria (2020). Terjemahan dengan tajuk Mind Battles oleh K. Pragalath tersiar di Men Matters Online Journal (Jun 2021) dan kemudian disiarkan dengan tajuk An Epic Ride dalam The Painted Cat (2023).

Kitab Bhagavad Gita juga sebenarnya tidak asing di Kepulauan Melayu. Amir Hamzah pernah melakukan terjemahan daripada versi bahasa Belanda kepada bahasa Indonesia dengan judul Bhagawad Gita (1935). 

Buku Bhagavad Gita: Dialog Arjuna dan Krishna di Kurukshetra (2021) pula satu-satunya versi penceritaan semula serba lengkap di Malaysia.

Epik Mahabharata dan Bhagavad Gita sering dilihat sebagai kitab agama Hindu. Maka, membawa kita kembali kepada persoalan mengapa sebuah universiti di Pakistan mahu mengkaji kedua-dua epik berkenaan. 

Tambahan pula, konflik India-Pakistan masih berterusan sejak perpisahan penuh tragis pada 1947.

Pihak LUMS menegaskan, kursus pengajian Sanskrit, Mahabharata dan Bhagavad Gita di universiti itu bersifat akademik semata-mata tanpa melibatkan unsur agama.

“Apabila orang Pakistan berjaya menguasai bahasa Sanskrit, maka mudahlah mengkaji pelbagai manuskrip klasik di perpustakaan negara ini untuk mengetahui sejarah tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar,” kata Dr. Shahid Rasheed. Dia mempelajari bahasa Sanskrit daripada pakar seperti Dr. Antonia Ruppel dari Universiti Cambridge dan Dr. McComas Taylor dari Universiti Kebangsaan Australia.

Agak menarik kerana kursus jangka pendek (1 September – 8 Disember 2025) yang terbuka kepada umum mendapat sambutan orang ramai. Ia dijadikan kursus dengan empat kredit bagi mahasiswa.

Menurut kenyataan LUMS, pelajar membincangkan juga topik bagaimana karya klasik Sanskrit mempengaruhi budaya popular di Pakistan. Malah, mereka melakukan perbandingan dengan karya terjemahan bahasa Urdu iaitu bahasa rasmi Pakistan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah tentu mendalami Ramayana, Mahabharata dan Bhagavad Gita. 

Memandangkan proses Indianisasi dan pengaruh bahasa Sanskrit amat kuat di negara ini, tentulah rugi jika rakyat Malaysia masih kurang berminat mengkaji teks-teks klasik dari negara India.

Apabila kita berani melakukannya dengan hati dan fikiran terbuka, maka pasti kita akan mampu menimba pelbagai ilmu yang boleh pula memperkuat dan memperkukuh identiti dan jati diri kita sebagai warga Malaysia.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×