Impian besar ke Olimpik

Impian besar ke Olimpik

AKSI Tsha Mae dalam kejohanan bola tampar pantai. - INSTAGRAM TASHA MAE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN Tasha Mae dalam bola tampar bermula seawal usia sembilan tahun dan sejak itu, impian kecil di bangku sekolah itu berkembang menjadi cita-cita besar untuk menjejakkan kaki ke pentas Olimpik.

Kini pada usia 24 tahun, Tasha dikenali antara pemain bola tampar pantai wanita negara yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, hasil disiplin dan ketekalan sejak usia muda.

Tasha yang berdarah kacukan Cina-India berkata, minat terhadap sukan sudah sebati dalam dirinya sejak kecil. Dia aktif mencuba pelbagai jenis sukan termasuk luncur ais, renang, badminton dan taekwondo.

TASHA MAE

“Bagaimanapun, hanya bola tampar benar-benar ‘melekat’ dan menjadi pilihan utama dalam hidup saya, sekali gus membentuk identiti sebagai seorang atlet,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dia memulakan langkah awal ketika bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sebelum bakatnya mula terserlah apabila mewakili sekolah, daerah dan seterusnya Selangor.

“Sokongan rakan-rakan serta persekitaran pasukan menjadikan bola tampar sebagai sukan yang paling menyeronokkan buat saya,” katanya.

Pada usia 14 tahun, Tasha diterima masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, satu pencapaian penting yang membuka laluan lebih luas dalam karier sukannya.

Di situlah dia mula menyertai pasukan kebangsaan di peringkat junior, sebelum diberi peluang menyarung jersi negara pada Sukan SEA 2017 dalam acara bola tampar tertutup.

Namun, pada usia 18 tahun, Tasha membuat keputusan besar yang mengubah hala tuju kariernya apabila beralih ke bola tampar pantai.

Menurutnya, bola tampar pantai menawarkan ruang perkembangan yang lebih luas selain suasana komuniti yang lebih mesra dan kompetitif.

“Bola tampar pantai hanya melibatkan dua pemain, jadi ia sangat menguji mental dan ketahanan diri. Tiada pemain gantian dan tiada ruang untuk bersembunyi,” katanya.

Sejak beralih sepenuhnya ke bola tampar pantai pada 2019, Tasha berpeluang menjelajah ke beberapa negara termasuk Filipina, Thailand, Kemboja dan India.

“Pengalaman itu bukan sahaja memperkayakan kemahiran teknikalnya, malah membolehkan saya membina jaringan antarabangsa bersama pemain dari seluruh dunia,” katanya.

Tasya turut menyifatkan bola tampar pantai sebagai sukan yang mempunyai jangka hayat lebih panjang kerana permukaannya yang lebih lembut berbanding gelanggang tertutup.

Keadaan itu secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko kecederaan serius dan membolehkan atlet bertahan lebih lama dalam sukan tersebut.

Dalam aspek akademik, Tasha kini melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS)dan sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang psikologi sukan.

Sebelum ini, beliau menimba ilmu di beberapa institusi termasuk Irvine Valley College dan California State University Northridge, selari dengan usaha menyeimbangkan akademik dan kerjaya sukan.

Selain bergelar atlet dan pelajar, dia turut aktif dalam dunia penciptaan kandungan menerusi penghasilan The Volley Talk Podcast.

“Podcast itu bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, wawancara tersebut saya bawa bersama pemain bola tampar pantai dari seluruh dunia termasuk bekas Olimpian dan juara dunia,” katanya.

Mengulas cabaran terbesar dalam kariernya, Tasha mengakui isu pembiayaan dan kekurangan sistem sokongan menjadi kekangan utama pembangunan bola tampar pantai di Malaysia.

“Berbanding di Amerika Syarikat yang menyediakan jurulatih, gimnasium dan fisioterapi lengkap, di Malaysia kami perlu lebih berdikari dan mencari sendiri sokongan yang diperlukan,” katanya.

Antara pencapaian paling membanggakan Tasha ialah menjadi pemain bola tampar pantai wanita pertama dari Malaysia beraksi di Divisyen 1 NCAA Amerika Syarikat pada 2022.

Beliau juga berbangga dapat mewakili negara di Sukan SEA serta meraih pingat gangsa dalam kejohanan antarabangsa di Singapura baru-baru ini.

Walaupun pernah berdepan kecederaan termasuk patah tulang dan terseliuh buku lali, Tasha menganggap pengalaman itu sebagai proses pembelajaran penting.

Baginya, kecederaan mengajarnya untuk lebih menghargai tubuh badan dan kesihatan mental sebagai seorang atlet profesional.

Sebagai atlet negara, Tasha menyimpan harapan besar untuk melihat bola tampar berkembang sebagai sukan arus perdana di Malaysia dengan sistem latihan yang lebih tersusun dan berterusan.

“Saya menyimpan impian untuk beraksi di Sukan Olimpik dan menghadiahkan pingat emas buat Malaysia satu hari nanti, saya percaya ia mungkin dicapai jika kita buat dengan bersungguh-sungguh.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN