MELAKA: Bapa kepada salah seorang pemain skuad bola tampar perempuan Melaka bawah 14 tahun yang terlibat insiden ditampar jurulatih meluahkan rasa kecewa keputusan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menggantung lesen kejurulatihan Saiful Hadee Amar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abd. Halim Bakar, 50, berkata, dia akur dengan keputusan itu namun masih mengharapkan peluang kedua dapat diberikan kepada Saiful Hadee atau lebih dikenali Cikgu Hadee.
Katanya, tindakan itu dilihat akan membunuh kerjaya Saiful Hadee sebagai jurulatih bola tampar setelah individu itu berkorban masa, wang ringgit serta memberi komitmen paling tinggi ketika melatih pemain negeri.
“Saya rasa hukuman yang dikenakan dibuat tanpa mengambil kira pencapaian dan sumbangan beliau sebelum ini. Siasat dahulu dan bukannya sekali dia lakukan kesalahan, terus jatuh hukuman berat.
“Paling tidak, berilah amaran kali pertama. Saya faham tindakan dilakukannya itu salah, namun tidak adakah ruang untuk dia diberikan pertimbangan yang sewajarnya?
“Tindakan dia hanya untuk menaikkan semangat pemain dan perkara itu diakui sendiri oleh pemain dan anak saya, Nur’ Saidatul Akma,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia melaporkan, Saiful Hadee yang terlibat dalam insiden menampar dua pemain semasa Kejohanan Bola Tampar Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini, dibatalkan lesen kejurulatihannya.
Saiful Hadee yang juga seorang guru sekolah rendah di Alor Gajah mengambil pendirian ‘kunci mulut’ daripada mengulas keputusan MAVA.
Abd. Halim memberitahu, Nur’ Saidatul Akma turut kecewa kerana insan yang melatihnya bermain bola tampar tidak lagi dapat mencurahkan bakti kepada pasukan. – UTUSAN










