Jurulatih dibatal lesen, dihenti aktiviti kejurulatihan

Jurulatih dibatal lesen, dihenti aktiviti kejurulatihan

HANNAH Yeoh bersama Fadhlina Sidek bercakap pada sidang akhbar khas berhubung insiden kejohanan bola tampar remaja di Menara KBS, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jurulatih bola tampar yang terlibat dalam insiden menampar dua pemain semasa Kejohanan Bola Tampar Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor sehingga tular di media sosial baru-baru ini, dibatalkan lesen jurulatihnya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan tersebut dibuat Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplin persatuan berkenaan.

Menurutnya, sebagai langkah awal, jurulatih sukan tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan itu termasuk jurulatih untuk murid sekolah.

Kata Hannah, jurulatih itu juga ditarik semula Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 (Sukan Spesifik) oleh MAVA, malah belum pernah membuat permohonan lesen kejurulatihan Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) sebagai pengiktirafan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK).

“Majlis Sukan Negara dan MAVA kedua-duanya memuktamadkan siasatan mereka yang mana secara sebulat suara memutuskan bahawa jurulatih itu sepatutnya hilang kelayakan daripada menjadi seorang jurulatih.

“Insiden itu telah membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah untuk menjadi sebahagian daripada SLKK dan SPKK,” katanya menerusi sidang akhbar bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, KBS juga mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah Institut Sukan Negara (ISN) untuk memastikan pelaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan diperoleh sebagai pengiktirafan SPKK setiap dua tahun.

Katanya, ia bertujuan memastikan jurulatih sukan di negara ini sentiasa dipantau perkembangan serta keaktifan karier kejurulatihan mereka.

Jelas beliau, penguatkuasaan peraturan tersebut juga membolehkan AKK dan pemegang taruh yang lain mengemas kini data selain turut membantu jurulatih-jurulatih meningkatkan lagi kemahiran mereka melalui ‘upskilling dan reskilling’ dengan pendekatan kejurulatihan dan teknologi terkini.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama rapat bersama ISN bagi melengkapkan jurulatih kepada pelajar sekolah dengan pensijilan yang diperlukan. Ini adalah penting untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat, saling menghormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan dan penderaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, siasatan oleh KPM berkaitan insiden berkenaan selesai dijalankan secara menyeluruh melibatkan jurulatih, murid, rakan sepasukan, guru, pengurus pasukan, saksi kejadian serta ibu bapa pemain terlibat.

Tambahnya, KPM juga meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan daripada pelbagai sudut khususnya yang melibatkan etika serta imej profesion perguruan.

“Selaras Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan tindakan tidak wajar, melanggar peraturan atau melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan pertikaian masyarakat melalui aspek keselamatan yang diterapkan warga guru terhadap murid,” ujarnya.

Kata Fadhlina, kementerian sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid semasa di sekolah mahu pun ketika mengikuti aktiviti kokurikulum di luar.

“Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu mengambil berat dan memberi perhatian untuk mengelak atau mengawal daripada berlaku sebarang kemungkinan tidak diingini,” katanya.

Sebelum ini, tular satu klip video membabitkan seorang jurulatih pasukan yang menampar dua orang pemain di Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 tahun (B-14) 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya