Gamel berang dengan keputusan pengadil

Gamel berang dengan keputusan pengadil

Pemain Sabah FC, Ajdin Mujagic (tengah) menjaringkan gol pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Christophe Gamel tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas beberapa keputusan pengadil didakwanya menjejaskan rentak pasukan ketika tewas kepada Sabah pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ, kelmarin.

Antara insiden paling mencuri tumpuan ialah kad merah yang dilayangkan kepada pertahanan import, Mamadou Diarra pada masa kecederaan, sekali gus memaksa Gergasi Merah menghabiskan aksi tambahan dengan 10 pemain sebelum tewas menerusi penentuan penalti.

“Saya malu dengan apa yang berlaku. Kami tetap hadapinya, tetapi ada keputusan yang terlalu keterlaluan. Kad merah itu terlalu mudah,” katanya selepas perlawanan.

Gamel turut mempersoalkan ketidaksesuaian penggunaan VAR, yang menurutnya digunakan separuh jalan.

“Ada situasi gunakan VAR, ada situasi langsung tidak tengok. Satu hari nanti, benda macam ini terima balasan. Tak apa, kami terima kekalahan,” tegas jurulatih kelahiran Perancis itu.

Pertembungan yang berlangsung tanpa penonton susulan hukuman FAM ke atas Selangor menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 5-5 secara agregat sebelum penjaga gol Sabah, Damien Lim muncul wira dengan menepis sepakan terakhir Mohammad Abualnadi untuk menghadiahkan tiket final kepada skuad Badak.

Sabah kini akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final.

Mengulas persembahan pasukannya, Gamel menolak tanggapan bahawa aksi menentang Sabah itu adalah yang terburuk di bawah bimbingannya.

“Saya bangga dengan pemain. Mereka ikut perancangan, mereka berjuang, malah kami mendahului tiga kali.

“Kami bermain dengan baik, mendominasi dan saya lihat pejuang dalam pasukan ini. Pemain muda pun tunjuk karakter,” katanya.

Untuk rekod, Selangor terpaksa akur apabila rekod mara ke final yang mereka cipta musim lalu tidak dapat diulang, dan malam di MBPJ menjadi saksi kekecewaan berganda buat Gergasi Merah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN