PETALING JAYA: Gabungan atlet berpengalaman dan muda menjadi taruhan ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jali untuki memburu pingat emas dalam acara pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Thailand 2025.
Pelari muda yang kian meningkat naik, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan atlet berpengalaman, Jonathan Nyepa menjadi sandaran ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil pada temasya itu.
Tegasnya, dia tidak akan memilih salah seorang daripada kedua-dua atlet tersebut untuk dijadikan pilihan utama bagi memburu pingat dalam acara riben biru itu.

“Mereka berdua adalah sandaran di mana kedua-duanya disenaraikan dalam acara 100m sebab mereka adalah pelari pecut yang terbaik kita miliki.
“Adakalanya 100m ini berkait rapat dengan keputusan sepintas lalu. Kita tak boleh kata atlet ini yang terbaik dan kemudian tiba-tiba atlet itu tidak menjadi pula. Sandaran saya adalah kepada kedua-duanya bagi acara 100m,” katanya.
Danish, 18, akan membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA bersama Jonathan akan beraksi buat ketiga dijangka menerima tentangan sengit daripada atlet tuan rumah, Puripol Boonson dan Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia.
Puripol antara calon pilihan memenangi emas dalam acara 100 m selepas mencatat 10.15 saat (s) di Chongqing, China pada Mei, manakala Lalu mencatat 10.21s pada Kejohanan di Miyakonojo, Jepun bulan lalu.
Sebagai rekod, catatan terbaik Danish pada musim ini adalah 10.26s pada Olahraga Terbuka Malaysia pada Ogos manakala Jonathan melakukan 10.40s juga di kejohanan yang sama. – UTUSAN










