Darren dinobat Olahragawan SUKIPT

Darren dinobat Olahragawan SUKIPT

PELARI jarak jauh HELP University, Darren James Nair Rodney James (tiga dari kanan) meraih gelaran Olahragawan SUKIPT 2026, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Gelaran Olahragawan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang diraih Darren James Nair Rodney James kini menjadi pencetus motivasi baharu buat pelari jarak jauh HELP University itu untuk memburu catatan bawah 15 minit dalam acara 5,000 meter (m) pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2026, Disember ini.

Darren berkata, tumpuan selepas kejayaan di SUKIPT kini sepenuhnya terarah kepada AUG dengan sasaran utama memperbaiki catatan 15:16.42 yang dilakukannya dalam perjalanan meraih emas 5,000m di temasya berkenaan.

“Sasaran utama saya sekarang adalah AUG pada Disember dan saya mahu fokus kepada 5,000m kerana saya belum pernah berlari bawah 15 minit, jadi saya mahu melakukannya sebelum memberi tumpuan kepada Sukan SEA tahun depan,” katanya.

“Saya sebenarnya sudah mempunyai kecergasan untuk mencapai catatan itu dan cuma menunggu masa untuk melakukannya, malah kalau saya boleh mencatat 15:16 selepas bertanding dalam tiga acara, bayangkan apa yang mampu saya lakukan jika hanya fokus kepada satu acara,” katanya.

Pelari berusia 24 tahun itu sudah mengesahkan kelayakan dalam acara 5,000m di AUG, manakala penyertaannya dalam 3,000m lari berhalangan masih belum diputuskan.

“Buat masa ini 5,000m sudah pasti, manakala 3,000m lari berhalangan masih 50-50 dan kalau diberi peluang, saya mahu menyertai kedua-dua acara itu,” katanya.

Di SUKIPT 2026, Darren tampil sebagai antara atlet paling menyerlah apabila menyapu tiga emas dalam 10,000m, 5,000m dan 3,000m lari berhalangan, selain mencipta rekod kejohanan bagi setiap acara dengan catatan 33:04.02, 15:16.42 dan 9:37.39.

Darren mengakui pengiktirafan sebagai Olahragawan kali ini lebih bermakna selepas dia pernah memenangi tiga emas serta mencipta tiga rekod pada edisi pertama, namun gagal meraih anugerah berkenaan apabila ada atlet lain yang memecahkan rekod kebangsaan.

“Kali ini mungkin memang rezeki saya dan saya masih rasa seperti bermimpi kerana berita itu hanya saya terima kira-kira dua jam sebelum majlis berlangsung,” katanya.

Anugerah itu turut didedikasikan kepada ibunya, Ram Jeyanthi, yang membesarkannya sebagai ibu tunggal bersama dua adik perempuan, selain menjadi simbol penghargaan Darren terhadap segala pengorbanan yang dicurahkan sepanjang perjalanan kariernya.

“Ibu banyak berkorban untuk saya dan walaupun saya belum bekerja serta belum mampu membantu dari segi kewangan, saya mahu memberikan dia nama yang baik supaya dia bangga apabila orang mengenali saya sebagai anaknya,” katanya.

Darren turut tidak melupakan jasa jurulatihnya, M Arul Thevar, bekas pemegang rekod kebangsaan separuh maraton yang membimbingnya sejak 2018 dan membantu membentuknya daripada pelari sekolah sehingga menjadi atlet kebangsaan.

“Beliau tidak pernah berputus asa dengan saya dan selama bertahun-tahun tidak pernah mengambil satu sen pun, sebaliknya membimbing kerana minat serta kecintaannya terhadap sukan dan mahu melahirkan atlet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×