Bahasa, budaya Melayu berpisah tiada

Bahasa, budaya Melayu berpisah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TITAH Ketua Negara Ke-17 semasa Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Malaysia Ke-15 pada 26 Februari 2024 amat penting. Namun, hampir dua tahun berlalu, titah tersebut masih gagal mendapat perhatian serius daripada mana-mana pihak, apatah lagi dalam bentuk langkah konkrit yang signifikan.

Titah itu tentang permasalahan perpaduan negara dan integrasi nasional yang belum dapat diatasi sepenuhnya, walaupun sekian lama tertubuhnya negara.

Secara khusus, titah itu menekankan keadaan yang mana masih terdapat golongan yang tidak menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta kurang memahami budaya kaum lain.

Perkara berkaitan bahasa dan budaya yang dititahkan itu bukan sahaja saling berkait dan mempengaruhi antara satu sama lain, malah merupakan satu entiti yang sama, yang mana bahasa merupakan sebahagian daripada budaya dan budaya pula tercermin melalui bahasa.

Dengan itu, keadaan negatif yang mana bahasa tidak dikuasai akan secara langsung menjejaskan pemahaman terhadap budaya. Sebaliknya, penguasaan bahasa yang baik akan secara semula jadi menumbuhkan kefahaman budaya yang lebih mendalam.

Oleh itu, penting untuk bahasa dikuasai dengan sebaik-baiknya. Ini kerana dapat memastikan budaya juga akan difahami dengan seelok-eloknya. Inilah sebenarnya perkara utama yang mahu diperintahkan Ketua Negara kita.

Sesungguhnya kaitan rapat antara bahasa dan budaya adalah hakikat yang nyata dan jelas, kerana kedua-duanya saling membentuk dan mempengaruhi antara satu sama lain.

Bahasa menjadi wadah utama penyebaran budaya. Melalui bahasa, nilai, kepercayaan, tradisi dan elemen budaya lain dapat diwarisi dengan berkesan.

Selain itu, cara kita memandang kehidupan dan persekitaran turut ditentukan oleh bahasa yang digunakan.

Budaya pula mempengaruhi cara bahasa digunakan, difahami dan dikembangkan. Dalam hal ini, keutamaan budaya, iaitu amalan penting dalam hidup sesuatu kaum itu dinyatakan melalui bahasanya.

Hakikat bahasa yang berkait rapat dengan budaya dan kedua-duanya adalah entiti yang sama, dapat diperlihat dengan jitu melalui pelbagai cara. Antaranya bahasa adalah cerminan budaya, penyambung budaya serta pembentuk pemikiran dan tanggapan.

Sehubungan ini dalam konteks bahasa Melayu, merupakan cerminan kepada budaya Melayu. Ini dapat dilihat pada kosa kata, nahu dan ungkapan yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Kesemua unsur bahasa Melayu mencerminkan keutamaan budaya, persekitaran dan malah sejarah kaum Melayu itu sendiri. Contoh, kosa kata seperti junjung, dukung, kepit dan jinjing bukti bagaimana kaum Melayu sangat mementingkan kegiatan yang melibatkan kejituan cara perbuatan.

Dengan ini, wujudlah perkataan khusus untuk menjelaskan sesuatu perbuatan itu dengan tepat.

Untuk ini, junjung adalah perbuatan yang membawa sesuatu atas kepala manakala jinjing merujuk tindakan membawa sesuatu dengan tangan, malah dengan cara khusus, tangan terhulur ke bawah.

Selanjutnya bahasa Melayu tidak dapat dinafikan sebagai penyambung budaya Melayu. Ini dapat dilihat pada pengetahuan budaya, antaranya dalam bentuk nilai dan adat yang diperturun oleh satu generasi kepada yang selepasnya.

Untuk pengetahuan budaya ini, kata ganti orang kedua dalam bahasa Melayu, iaitu kamu, engkau dan awak, termasuklah anda sebagai ciptaan kemudian, tidak boleh sesekali digunakan dengan sewenang-wenangnya.

Dalam hal ini, semua istilah tersebut tidak sesuai digunakan untuk merujuk kepada pihak yang lebih tua dari segi usia, lebih tinggi dari segi pangkat sosial atau sebarang pihak yang setaraf dengannya.

Begitu juga, sebagai pembentuk pemikiran dan tanggapan, bahasa Melayu mempengaruhi cara penuturnya memikir dan menanggapi kehidupan serta persekitaran sekeliling. Hal ini terserlah melalui ungkapan-ungkapan dalam bahasa Melayu yang mencerminkan nilai-nilai budaya Melayu.

Dalam hal ini, perkataan nakal digunakan untuk menyatakan tindakan kanak-kanak yang tidak baik, bukannya perkataan jahat.

Ini kerana dalam budaya Melayu, perkataan jahat membawa konotasi pihak ibu bapa yang tidak memberi asuhan betul sehingga kanak-kanak itu bertindak secara negatif.

Manakala perkataan nakal membawa konotasi perbuatan negatif semata-mata kerenah anak-anak sahaja yang tiada kaitan dengan asuhan yang salah daripada ibu bapa.

Selanjutnya tidak dapat dinafikan bahasa Melayu adalah identiti budaya yang penting kepada rakyat Malaysia. Ini kerana bahasa negara itu yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Dengan ini, bahasa Melayu adalah cara utama untuk rakyat berhubung atas dasar bahasa milikan dan entiti kepunyaan bersama. Ini kerana bahasa Melayu adalah bahasa negara bagi rakyat Malaysia.

Sebenarnya bahasa Melayu juga penting dalam banyak perkara lain dalam konteks budaya termasuklah dalam memahami norma sosial tertentu. Antaranya kesantunan dan lain-lain dalam komunikasi.

Dalam hal ini, tidak sopan sama sekali jika sesuatu, terutama perkara yang jelik, disampaikan secara terus tanpa usaha untuk diselindungkan.

Pendekatan sebegini bukan sahaja penting untuk menjaga air muka pihak terlibat, malah bertentangan dengan kesantunan dalam budaya Melayu yang menekankan agar seseorang tidak mengaibkan orang lain dengan menyatakan sesuatu secara terang-terangan tanpa berselindung.

Sebenarnya budaya Melayu adalah budaya konteks tinggi. Dengan ini, kita memerlukan pelbagai maklumat yang tidak terkandung pada makna asas setiap perkataan yang digunakan, untuk memahami sesuatu itu dalam budaya Melayu.

Ini bermakna sesuatu yang diungkapkan itu tidak boleh difahami semata-mata berdasarkan makna tersurat pada setiap perkataan. Ini kerana apa-apa jua hasrat, lebih-lebih lagi yang negatif, tidak akan disampaikan terang-terangan sebaliknya secara tersirat menerusi pelbagai cara, antaranya berkias.

Dengan ini, pihak yang mendengar harus pintar untuk memahami makna tersirat yang tidak pun dinyatakan secara tepat.

Dalam hal ini, setiap bahasa itu mempunyai caranya yang tersendiri untuk mencerminkan budaya, menyambung budaya, membentuk pemikiran dan tanggapan.

Dalam konteks titah itu, bahasa Melayu selaku bahasa negara wajib dikuasai dengan bestari oleh setiap rakyat. Ini sangat penting agar budaya Melayu sebagai teras utama pada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) bukan sahaja difahami dengan bestarinya malah dipamerkan secara bestari oleh semua rakyat.

Inilah identiti Malaysia yang dititahkan, iaitu keteguhan hati dan kekentalan jiwa yang berpaksikan bahasa dan budaya Melayu sebagai jati diri rakyat Malaysia.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×