PETALING JAYA: Atlet pecut Sabah, Nur Aishah Rofina Aling tekad untuk membawa pulang pingat tanpa meletakkan sebarang sasaran warna bagi menggalas cabaran di Sukan SEA Thailand, Disember ini.
Aishah yang bakal membuat penampilan kedua di temasya itu berkata, segala persiapannya berjalan lancar lancar dengan mengikuti segala perancangan jurulatih.
“Saya berharap saya dapat melakukan catatan peribadi terbaik dan menghadiahkan pingat untuk Malaysia, insya-Allah. Cabaran sengit dijangka daripada atlet Vietnam dan Thailand,” katanya.
Atlet berusia 26 tahun itu akan beraksi dalam acara 100 meter (m) dan kuartet 4x100m wanita bersama Zaidatul Husniah Zulkifli, Shereen Samson Vallabouy, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka.
Catatan terbaik Nur Aishah dalam acara 100m tahun ini dilakukan ketika menyertai Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur dengan larian 11.80 saat (s), Mei lalu.
Dia kemudiannya memperbaharui catatan peribadinya 11.76s di Kejohanan Olahraga Innotex-BJSS awal bulan ini.
“Kalau ikut kedudukan, memang adik (Zaidatul) lagi laju, tapi perbezaannya tidak jauh. Tahun ini saya berada di nombor dua dalam ranking domestik,” katanya.
Sebagai rekod, Nur Aishah adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara 4x100m wanita dengan catatan 44.58s bersama Azreen Nabila Alias, Zaidatul dan Nur Afrina di Sukan SEA Kemboja 2023 sekali gus membolehkan mereka membawa pulang gangsa. – UTUSAN










