Sekolah selamat bukan sekadar janji

Sekolah selamat bukan sekadar janji

KRISIS keselamatan sekolah merupakan ujian keupayaan negara mendengar dan menyesuaikan diri terhadap maklum balas rakyatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Oktober lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 11 langkah tambahan bagi menangani isu keselamatan murid dan disiplin pelajar di sekolah. 

Antara langkah tersebut termasuk penambahan peruntukan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penempatan lebih ramai guru kaunseling serta kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, dalam masa yang sama, sebuah gerakan sivil, Gerakan Sekretariat Sekolah Selamat (SSS) menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan 10 tuntutan mendesak, termasuk penggubalan Akta Antibuli Nasional dan Akta Khas Gangguan Seksual di Sekolah, pelaksanaan pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh serta penubuhan Suruhanjaya Sekolah Selamat di bawah Parlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wakil SSS, Ain Husniza Saiful Nizam ketika sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum tersebut pada 22 Oktober lalu mengatakan Fadhlina memberi komitmen untuk melunaskan tuntutan kami. 

“Tapi kami bukan hanya mahu kata-kata. Kami mahu tindakan, kami mahu reformasi sistem pendidikan.

“Kami benar-benar berharap janji itu ditepati,” katanya.

 

JURANG ANTARA INISIATIF INKREMENTAL DASAR DAN REFORMASI SISTEMIK

Sepintas lalu, langkah KPM bersifat operasional dan segera, tertumpu pada aspek pentadbiran dan penguatkuasaan dalaman. Kementerian menekankan keperluan menambah kakitangan, memperkukuh sistem pemantauan dan meningkatkan disiplin pelajar melalui kuasa pentadbiran sekolah. 

Sebaliknya, tuntutan Gerakan SSS bersifat reformasi sistemik, menuntut kerangka undang-undang baharu, audit keselamatan fizikal tahunan dan pendekatan kurikulum berasaskan kesejahteraan mental serta kecerdasan emosi. 

Tuntutan gerakan ini juga menegaskan keselamatan pelajar bukan hanya isu disiplin, tetapi persoalan hak asasi, struktur tadbir urus dan akauntabiliti institusi.

Kedua-dua pihak bersetuju tentang keperluan memperkukuh sokongan psikososial, penilaian kesihatan mental serta mekanisme pelaporan yang mesra kanak-kanak. Walau bagaimanapun, perbezaan ketara muncul apabila membincangkan struktur kuasa dan autonomi pemantauan. 

KPM kekal dengan pendekatan hierarki iaitu bergantung kepada pentadbir sekolah, pegawai daerah dan PDRM. 

Gerakan SSS pula mencadangkan penubuhan badan bebas di bawah Parlimen bagi memastikan integriti pengawasan, agar tidak berlaku konflik kepentingan antara penggubal dasar dan pelaksana dasar.

 

LITAR PINTAS DALAM HUBUNGAN TADBIR URUS KEMENTERIAN DAN MASYARAKAT 

Dalam kerangka Teori Sistem Politik David Easton (1965), hubungan antara KPM dan masyarakat boleh difahami sebagai sistem terbuka atau demokrasi yang bergantung pada kitaran input–output–maklum balas (feedback). 

Input ialah tuntutan dan sokongan masyarakat dalam konteks ini, desakan ibu bapa, guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Output pula merujuk kepada dasar, tindakan dan keputusan yang dihasilkan kerajaan. 

Sementara maklum balas ialah bagaimana masyarakat bertindak balas terhadap dasar tersebut dan sejauh mana reaksi itu diambil kira dalam penambahbaikan sistem. 

Namun, apabila wujud ‘litar pintas maklum balas (feedback short-circuit) istilah Easton bagi gangguan komunikasi antara dasar kerajaan dan respons masyarakat menyebabkan suhu politik menjadi hangat. 

Ini terjadi apabila terdapat persepsi suara awam tidak disantuni, maklumat diseleweng, atau dasar dilaksanakan tanpa menilai kesannya secara jujur. Akibatnya, sesebuah kementerian kerajaan dilihat sebagai gagal menyesuaikan diri dengan keperluan sebenar rakyat dan timbul defisit kepercayaan dan keyakinan.

Situasi semasa memperlihatkan tanda-tanda gangguan maklum balas tersebut. Meskipun KPM mengumumkan pelbagai langkah baik, SSS tetap turun ke jalan. Ia menggambarkan satu isyarat yang mekanisme perundingan formal dan libat-urus tidak lagi mencukupi atau dipercayai. 

Kehidupan politik dalam zaman gangguan teknologi kini membawa cabaran yang hebat bagi pembuat dasar. 

Apabila tuntutan masyarakat mengenai isu kritikal dan emosi tidak diproses dan diterjemahkan menjadi keputusan dan dasar yang konkrit dengan cepat dan tuntas, maka sistem politik kehilangan keupayaan untuk menyesuaikan diri. Politik semasa akan kehilangan kepekaan terhadap persekitarannya. Ini adalah keadaan yang dikatakan mendahului krisis legitimasi.

Krisis keselamatan sekolah bukan hanya isu pentadbiran pendidikan tetapi ujian kepada keupayaan negara mendengar dan menyesuaikan diri terhadap maklum balas rakyatnya. Jika litar maklum balas ini terus terganggu, sistem bukan sahaja gagal melindungi pelajar tetapi ia turut menjejaskan legitimasi moral dan politik kementerian itu sendiri. 

Wacana ‘sekolah selamat’ harus dilihat bukan sekadar isu dasar tetapi sebagai proses politik berterusan di mana setiap dasar diuji, dinilai dan diperbetul melalui maklum balas terbuka dan jujur. Inilah asas kepada sistem politik yang demokratik, matang, dan responsif.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Danial Mohd. Yusof ialah Penyelidik Unit Kajian Kemenjadian & Pengarah Pusat Keamanan, Dialog dan Xenofobia (PEDIXS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini