PETALING JAYA: Sikap berdiam diri Kontinjen Malaysia yang belum mensasarkan pungutan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 mengundang persoalan tentang kesediaan atlet.
Sukan SEA Thailand akan membuka tirai secara rasmi pada 9 Disember ini tetapi sehingga kini Malaysia masih belum mengumumkan sasaran pingat pada temasya Asia Tenggara ke-33 itu.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli ketika mengulas perkara tersebut berkata, kelewatan itu menimbulkan tanda tanya besar terhadap kesediaan atlet, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan pengurusan terhadap prestasi sebenar skuad negara.
“Thailand sudah lama umumkan sasaran lebih 200 pingat emas. Vietnam pun jelas, letak antara 80 hingga 100.
“Itu menunjukkan mereka bersedia dan atlet sudah fokus untuk perform,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebaliknya, beliau berkata, Malaysia masih terikat dengan pendekatan ‘sasaran pukal’ yang dikatakan bertujuan mengelak tekanan kepada atlet sekali gus satu alasan yang dianggap tidak lagi relevan dalam sukan berprestasi tinggi.
“Kalau ini pemikiran kita, siapa sebenarnya takut gagal? Atlet atau pengurusan? Ini baru tahap Sukan SEA. Kalau atlet pun tak diajar hadam tekanan, bagaimana nak pergi jauh?
“Adakah kita sendiri ragu-ragu dengan pencapaian? Nak kira emas, perak, gangsa pun sampai sekarang tak selesai? Nampak sangat kita masih tidak pasti dengan kemampuan atlet,” katanya.
Mengulas persiapan akhir, Dr. Pekan menegaskan, atlet perlu dibekalkan kekuatan psikologi, hala tuju yang jelas serta rasa tanggungjawab membawa nama negara, bukan sekadar ‘janji sumbang pingat apa pun sudah memadai’.
“Kalau pemikiran kita hanya mensasarkan ikut pukal tak kisahlah dapat emas, perak atau gangsa itu bukan budaya pemenang. Itu budaya selesa,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan Malaysia masih jauh untuk mencapai standard pertandingan tinggi jika masih teragak-agak menentukan sasaran asas sedangkan lawan sudah menetapkan hala tuju berbulan-bulan lebih awal.
“Saya sedih dengan keadaan ini. Jika cara fikir kita masih lagi begini, memang susah nak bersaing,” ujarnya. – UTUSAN










