PETALING JAYA: Kem olahraga berisiko terus ‘malap’ jika atlet pelapis masih belum mampu untuk menyaingi pesaing negara-negara serantau di pentas antarabangsa.
Bekas jaguh pecut kebangsaan Nazmizan Muhammad berkata, ketandusan atlet pelapis itu jelas dapat dilihat dalam acara trek berbanding acara padang.
Katanya, Malaysia juga ketika ini banyak bergantung kepada acara padang untuk mengutip pingat emas di Sukan SEA, sementara acara trek belum menunjukkan prestasi yang konsisten.
“Memang acara padang yang banyak menyumbang pingat emas. Acara trek sebenarnya berpotensi kalau ada kesinambungan dan pelan pembangunan yang kukuh,” katanya.
Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025 itu berkata, antara punca utama jurang prestasi itu ialah peralihan generasi atlet yang tidak lancar.
Katanya, situasi berkenaan menyebabkan negara kekurangan pengganti mantap selepas atlet utama bersara atau berdepan penurunan prestasi.
“Sekarang ini saya tengok kita terputus. Contohnya macam Irfan (Shamsuddin) dalam acara lontar cakera dia seorang saja yang kita nampak benar-benar kompetitif.
“Lepas dia, jurangnya agak jauh. Sepatutnya kita ada dua atau tiga atlet lain yang boleh terus cabar di tahap sama.
“Kita yakin dengan program yang sedang berjalan. Mungkin 2026 atau 2027 nanti kita akan nampak satu pasukan yang lebih solid,” katanya.
Tambah Nazmizan, acara trek perlu kembali menjadi penyumbang utama pingat emas negara, seiring dengan acara padang, bagi memastikan sasaran keseluruhan kontinjen tercapai.
“Sukan olahraga tawarkan 47 pingat emas, jadi Malaysia kena ambil peluang besar tu. Dulu, tahun 1997 kita dapat 16 emas, tahun 1999 dapat 12.
“Harap Sukan SEA 2027 nanti kita boleh capai sekurang-kurangnya 16 hingga 20 emas,” katanya. – UTUSAN










