PETALING JAYA: Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil optimis kecederaan yang dialami dua atletnya dapat pulih sebelum bermulanya Sukan SEA Thailand.
Manshahar berkata, atlet lompat bergalah wanita, Nor Sarah Adi dan Shereen Samson Vallabouy kini menjalani proses pemulihan sambil menyifatkan kecederaan yang dialami mereka berada dalam kawalan.
“Kita mempunyai dua atlet yang sedang menjalani pemulihan, namun keadaan mereka tidaklah terlalu berat atau serius.
“Saya yakin dan percaya berdasarkan laporan doktor bahawa mereka akan pulih seperti sedia kala untuk bersaing di Sukan SEA nanti. Perkembangan mereka semakin baik,” katanya.
Dalam pada itu, Manshahar berkata, bagi acara pecut 100 meter (m) lelaki, tanggungjawab diberikan kepada atlet muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Jonathan Nyepa selepas ketiadaan Muhammad Azeem Fahmi.
“Berdasarkan ranking semasa tahun ini tanpa Azeem, Danish berada dalam kedudukan pingat gangsa manakala Jonathan di kedudukan keempat atau kelima.
“Begitupun, Danish baru berusia 20 tahun dan ini adalah penampilan pertamanya. Dalam acara pecut, apa sahaja boleh berlaku pada hari kejadian dan tidak mustahil dia mampu melakar kejutan untuk negara,” katanya.
Katanya, saingan sengit dijangka diberikan oleh pemegang rekod Sukan SEA dari Thailand, Puripol Boonson dan pelari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri. – UTUSAN










