Ratchaburi penentu pemain takraw ke Sukan SEA

Ratchaburi penentu pemain takraw ke Sukan SEA

Ahmad Jais Baharom
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sesi latihan terakhir skuad sepak takraw negara di Ratchaburi, Thailand dari 21 hingga 24 November ini akan menjadi penentu barisan pemain ke Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharom berkata, sesi tersebut akan menentukan kedudukan 18 pemain yang akan dipilih untuk disenaraikan bagi kategori berpasukan, regu atau kuadran.

Menurutnya, walaupun beliau sudah ada bayangan pemain yang akan disenaraikan bagi tiga acara tersebut namun ujian terakhir di Ratchaburi akan menjadi penentu.

Beliau berkata, sepanjang berada di Ratchaburi ke semua pelatih kebangsaan akan mengharungi 20 perlawanan ujian iaitu 16 bagi acara regu dan empat bagi acara kuadran.

Katanya, pemain negara akan diuji dengan barisan terbaik bekas pemain sepak takraw Thailand.

“Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali yang sedang berlangsung menjadi platform untuk saya menilai prestasi semasa ke semua pemain negara yang beraksi mewakili pasukan negeri atau kelab masing-masing.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan prestasi mereka dan lebih melegakan tidak ada antara mereka yang ditimpa kecederaan serius,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Ahmad Jais berkata, sejurus tamat Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali Ahad ini, kesemua pemain negara akan kembali menyertai sesi latihan di Bukit Jalil pada Selasa sebelum berangkat ke Ratchaburi nanti.

Setakat ini menurutnya, beliau akan mengekalkan trio Negeri Sembilan menerusi gandingan tekong, Haziq Hairul Nizam bersama Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri) yang kembali menyarung jersi negara.

“Masa terlalu singkat untuk kita menguji pemain itu dengan gandingan lain dan adalah lebih baik trio ini dikekalkan kerana prestasi mereka serta persefahaman banyak mencipta banyak kejayaan di peringkat domestik,” ujarnya.

Katanya, beliau turut lega dengan prestasi dua killer kebangsaan, Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Noraizat Mohd. Nordin yang bakal menerajui acara regu dan berpasukan.

“Saya lihat prestasi mereka semakin menyakinkan dan ini petanda baik untuk barisan pemain negara membawa pulang dua emas seperti yang disasarkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN