Ringgit mengukuh, ekonomi Malaysia terus memuncak

Ringgit mengukuh, ekonomi Malaysia terus memuncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUKUHAN ringgit yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini menarik perhatian ramai pemerhati ekonomi, pelabur, dan pembuat dasar.

Pada trend dagangan terkini, ringgit terus menunjukkan peningkatan berbanding berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Ketika ini, ringgit merupakan mata wang berprestasi terbaik di Asia, sekali gus mencerminkan potensi ekonomi Malaysia yang semakin kukuh.

Kekuatan ringgit ini bukanlah kebetulan tetapi dipacu asas ekonomi negara yang semakin kukuh, khususnya melalui prestasi eksport yang memberangsangkan pada Oktober.

Meskipun perkembangan ini memberi nafas lega kepada ekonomi negara, Malaysia perlu terus fokus terhadap usaha peningkatan ekonomi secara menyeluruh agar pengukuhan ringgit dapat dipertahankan dalam jangka panjang.

Prestasi eksport Malaysia pada Oktober mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 15.7 peratus tahun ke tahun, dengan jumlah eksport mencecah RM148.32 bilion iaitu paras tertinggi yang pernah direkodkan.

Pertumbuhan dua digit ini bukan sahaja melepasi jangkaan penganalisis pasaran yang mengunjurkan pertumbuhan sekitar lapan peratus tetapi juga menunjukkan permintaan terhadap produk buatan Malaysia masih tinggi.

Peningkatan ini didorong penghantaran barangan pembuatan yang lebih kukuh, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang kekal sebagai penyumbang utama kepada nilai eksport negara.

Sektor E&E terus menunjukkan ketahanannya walaupun ekonomi global berhadapan tekanan inflasi, kelembapan pertumbuhan dan ketidaktentuan geopolitik. Permintaan berterusan terhadap cip, semikonduktor, komponen elektronik dan peralatan teknologi mencerminkan kedudukan Malaysia yang strategik dalam rantaian bekalan global.

Malaysia kekal sebagai salah satu hab pengeluaran semikonduktor terpenting di duni. Pertumbuhan eksport sektor ini memberi keyakinan kepada pelabur negara mempunyai potensi jangka panjang dalam industri berteknologi tinggi.

Selain sektor E&E, peningkatan penghantaran produk berkaitan komoditi dan pembuatan berasaskan nilai tambah turut menyumbang kepada kekuatan eksport negara.

Situasi ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan negara tetapi juga mengukuhkan keyakinan pasaran terhadap ekonomi Malaysia. Dengan eksport menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), prestasi cemerlang ini secara tidak langsung mendorong pengukuhan ringgit.

Sementara itu, data pelaburan turut menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia. Jumlah pelaburan diluluskan meningkat sebanyak 13.2 peratus kepada RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025.

Lebih signifikan, pelaburan asing langsung (FDI) melonjak 47.5 peratus, menunjukkan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik di rantau Asia Tenggara.

Pelaburan asing ini kebanyakannya tertumpu dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, pusat data, ekonomi digital, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan profesional.

Lonjakan FDI sebegini menambah keupayaan negara dalam menghasilkan pekerjaan berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti industri dan memperkukuh daya saing negara.

Pada masa sama, membantu mengukuhkan ringgit melalui aliran masuk modal asing yang besar. Pelabur luar melihat Malaysia sebagai negara yang stabil, dengan infrastruktur ekonomi yang baik serta dasar kerajaan yang semakin pro pelabur.

Pengukuhan ringgit juga dapat dilihat melalui perbandingannya dengan mata wang utama dunia.

Pada penutupan dagangan, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun. Ringgit turut meningkat berbanding euro dan mengukuh berbanding pound Britain. Ini menunjukkan pengukuhan ringgit adalah fenomena yang lebih luas, bukan hanya terkait dengan dolar AS semata-mata.

Ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN seperti baht Thailand, dolar Singapura, rupiah Indonesia dan peso Filipina. Pengukuhan ini memberi kelebihan kepada Malaysia dari segi kos import yang lebih rendah, sekali gus menurunkan tekanan inflasi.

Pada masa sama, memberikan lebih banyak ruang kepada syarikat tempatan yang bergantung kepada barangan import untuk merancang operasi mereka dengan lebih berkesan.

Walaupun pengukuhan ringgit petanda positif, Malaysia tidak boleh terlalu selesa. Prestasi mata wang dipengaruhi banyak faktor termasuk dasar monetari AS, harga komoditi global, risiko geopolitik dan sentimen pasaran. Oleh itu, Malaysia perlu memfokuskan beberapa strategi utama untuk memastikan ringgit terus stabil dan ekonomi negara terus berkembang.

Pertama, Malaysia perlu memperkukuh transformasi digital dan automasi industri. Dalam era Industri 4.0, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, analitik data dan automasi proses perniagaan menjadi keperluan mendesak.

Penggunaan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti tetapi juga membantu syarikat tempatan bersaing di peringkat global. Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) teknologi supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi global.

Kedua, pembangunan modal insan perlu diberi perhatian serius. Malaysia memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi untuk menyokong pelaburan bernilai tinggi dan sektor berteknologi.

Kerjasama strategik antara universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri perlu diperkukuh agar latihan dan pendidikan diselaraskan dengan keperluan sebenar pasaran kerja.

Negara perlu menghasilkan lebih ramai jurutera, pereka teknologi, saintis data, pakar automasi dan tenaga kerja mahir lain untuk memenuhi permintaan industri masa hadapan.

Ketiga, Malaysia perlu memperkukuh ekosistem pelaburan dan memastikan iklim perniagaan kekal kompetitif. Kemudahan pelesenan yang lebih cepat, insentif pelaburan yang menarik, peraturan yang jelas serta infrastruktur ekonomi dan logistik moden mampu menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Dalam suasana persaingan sengit dengan negara seperti Vietnam dan Indonesia, maka Malaysia perlu terus menawarkan kelebihan strategik untuk menarik pelabur jangka panjang.

Keempat, diversifikasi ekonomi perlu dipertingkat untuk mengurangkan pergantungan kepada sektor tertentu seperti E&E. Sektor baharu seperti ekonomi hijau, industri halal global, bioteknologi, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital perlu diberikan tumpuan. Dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan, Malaysia dapat mengurangkan risiko sekiranya berlaku kelembapan dalam sektor tertentu.

Selain itu, tadbir urus fiskal yang baik memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ringgit.

Malaysia perlu memastikan hutang negara diurus secara berhemah, perbelanjaan kerajaan lebih efisien dan ketirisan diminimumkan. Reformasi struktur seperti memperkukuh kutipan hasil negara, mengawal pembaziran dan memastikan ketelusan perlu diberikan perhatian untuk mengukuhkan keyakinan pasaran.

Akhir sekali, disiplin fiskal yang berterusan penting untuk mengekalkan keyakinan pasaran. Malaysia perlu memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berfokus, mengurangkan ketirisan dan mengurus hutang secara berhemah.

Reformasi cukai dan peningkatan kecekapan pentadbiran boleh membantu mengukuhkan kedudukan fiskal negara, sekali gus mempengaruhi penilaian mata wang dalam jangka panjang.-UTUSAN

Profesor Madya Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×