Rasuah bukan soal wang semata-mata

Rasuah bukan soal wang semata-mata

RASUAH berakar bukan disebabkan kelemahan undang-undang tetapi kerana tiada ketegasan dalam pelaksanaan dan budaya organisasi yang permisif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUPAYAAN kerajaan memulihkan RM15.5 bilion dana awam hasil rampasan dan kutipan penalti antara 2024 hingga 2025 merupakan pencapaian penting dalam sejarah tatakelola negara.

Ia melambangkan keberkesanan penyelarasan antara agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kejayaan ini tidak boleh sekadar diraikan dalam bentuk angka sebaliknya mesti diterjemahkan melalui reformasi menyeluruh terhadap struktur, budaya dan sistem tadbir urus negara kerana masalah sebenar bukan semata-mata kehilangan wang tetapi kehilangan integriti dalam proses pelaksanaan dasar.

Menurut laporan Utusan Malaysia pada 23 Oktober 2025, sebanyak 2,527 penjawat awam ditahan dalam tempoh lima tahun dengan nilai kesalahan mencecah RM16 bilion. Statistik ini mengejutkan kerana ia berlaku dalam suasana di mana kerajaan telah pun melaksanakan pelbagai pelan integriti dan dasar antirasuah.

Punca utama fenomena ini ialah jurang besar antara dasar yang baik dengan kelemahan pelaksanaan. Banyak pelan integriti hanya kekal di atas kertas tanpa penegasan kepimpinan di peringkat jabatan.

Oleh kerana tiada keberanian moral untuk menegakkan prinsip apabila berdepan kompromi dan tekanan dalaman, maka rasuah berakar bukan kerana undang-undang lemah tetapi kerana pelaksanaan yang tidak tegas dan budaya organisasi permisif.

Rasuah tidak lahir dalam vakum. Ia lahir apabila sistem longgar bertemu manusia yang tamak. Sistem tatakelola yang tidak kukuh membuka peluang, manakala sikap lemah moral menjadikan individu mudah tergoda.

Apabila kawalan dalaman gagal berfungsi, apabila ketua jabatan tidak berani menegur dan tiada insentif untuk berintegriti maka rasuah menjadi rutin, bukan lagi pengecualian.

Pembaharuan sistem tanpa reformasi manusia hanyalah kosmetik manakala individu berprinsip dalam sistem korup akhirnya tertekan atau tersisih. Maka kedua-duanya perlu diperbaiki serentak.

Sementara budaya kerja berasaskan hierarki yang menyanjung kuasa dan hubungan peribadi berbanding merit membunuh semangat akauntabiliti.

Amalan kronisme dan dwi standard dalam jabatan menjadikan penjawat awam berasa selamat dalam salah laku selagi mereka mempunyai ‘pelindung atas’. Dalam situasi sebegini, pelapor salah laku dianggap musuh organisasi.

Budaya takut melapor menjadi kanser integriti. Ia hanya dapat dipulihkan apabila sistem benar-benar melindungi pelapor bukan sekadar di atas kertas.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan banyak latihan dan kempen kesedaran integriti hari ini gagal menembusi hati dan minda penjawat awam. Program disusun untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) bukan untuk mengubah tingkah laku.

Latihan integriti mesti dirombak agar bersifat empati dan reflektif. Ia perlu dibina berdasarkan kisah benar, dilema moral sebenar dan tanggungjawab sosial yang nyata. Indikator kejayaan latihan bukan lagi jumlah peserta tetapi perubahan dalam cara mereka membuat keputusan etika di tempat kerja.

Bahkan, sistem pengawasan masih belum bersepadu. Banyak kes penyalahgunaan kuasa berhenti di peringkat jabatan kerana konflik kepentingan.

Ini kerana fungsi unit integriti, audit dalaman dan penguatkuasaan sering bertindih tanpa koordinasi.

MCW mencadangkan agar kerajaan menubuhkan pusat penyelarasan nasional untuk menyatukan data dan tindakan semua unit integriti secara masa nyata, di bawah seliaan langsung Jabatan Perdana Menteri.

Tidak ketinggalan, era digital mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Setiap keputusan jabatan, daripada perolehan hingga kelulusan projek perlu meninggalkan ‘jejak audit digital’ yang tidak boleh diubah suai.

Teknologi seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) seperti alat pengesahan AI dan sistem pemantauan masa nyata boleh menutup ruang manipulasi manusia.

Digitalisasi bukan sekadar alat tetapi pelindung kepada integriti. Ia memastikan tiada keputusan dibuat tanpa jejak akauntabiliti.

Kepimpinan menentukan nada budaya organisasi. Ketua jabatan mesti menjadi ‘imam’ integriti, bukan sekadar pengurus prosedur.

Apabila seorang ketua menutup mata terhadap salah laku anak buahnya, itu bukan kelemahan individu tetapi pengabaian institusi.

Oleh itu, penilaian KPI ketua jabatan mesti mengandungi indikator integriti yang boleh diukur bukan hanya produktiviti. Kegagalan memelihara integriti pasukan mesti memberi kesan kepada kenaikan pangkat dan elaun prestasi.

Untuk memastikan keberkesanannya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perlu disemak semula. Pelapor mesti boleh membuat aduan melalui platform digital bebas yang tidak dikawal hierarki jabatan.

MCW menyarankan agar wujud satu gerbang digital pendedah maklumat yang membolehkan laporan diterima secara sulit, disiasat segera dan dijamin perlindungannya daripada tindakan balas.

PEMBAHARUAN
MCW mengemukakan tiga cadangan utama pembaharuan dasar:
• Akta tatakelola sektor awam: Mewajibkan standard etika dan penalti jelas bagi kegagalan tadbir urus.
• Reformasi sistem penilaian prestasi: Menjadikan integriti, ketelusan dan kepimpinan moral sebagai asas kenaikan pangkat.
• Penstrukturan semula unit integriti: Menjadikannya entiti separa bebas di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukan lagi dikawal terus oleh ketua jabatan yang sama.

Reformasi ini penting agar kawalan integriti tidak lagi bergantung pada individu tetapi pada struktur yang kukuh dan bebas.

Sudah tiba masanya integriti dijadikan dasar pembangunan nasional, bukan sekadar tema tahunan.

Semua agensi mesti dinilai bukan hanya berdasarkan jumlah projek diluluskan tetapi sejauh mana dasar itu dilaksanakan dengan beretika dan berakauntabiliti.

Program seperti Pelaburan dan Pembaharuan Strategik serta Belanjawan 2026 yang menekankan digitalisasi dan kecekapan fiskal perlu diiringi dengan pelan integriti sektor awam yang menyeluruh.

Hanya dengan perpaduan antara pembaharuan tadbir urus dan moral barulah kita mampu keluar daripada kitaran korupsi.

DARI RETORIK KE REALITI
Malaysia kini berada di persimpangan antara dua pilihan sama ada untuk terus terperangkap dalam siklus ketirisan dan slogan atau melangkah ke arah tadbir urus tanpa rasuah.

Pemulihan RM15.5 bilion hanyalah permulaan tetapi untuk menjadikannya legasi, negara mesti berubah dari dalam. Dari nilai kepimpinan, kejujuran pentadbiran dan keberanian moral penjawat awamnya.

MCW menyeru pihak kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat untuk bersama membina budaya integriti sebagai nadi Malaysia baharu.

Hanya dengan itu, impian Malaysia Madani dapat direalisasikan bukan sekadar dalam wacana tetapi dalam tindakan dan hasil yang nyata.

Integriti bukan sekadar tidak melakukan rasuah tetapi keberanian menolak yang salah walaupun tiada siapa melihat.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN