KUALA LUMPUR: Penyerang Kuching City, Jordan Mintah kini semakin hampir merealisasikan impian menyarung jersi Harimau Malaya apabila dijangka membuat penampilan sulung dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 18 November ini.
Sebelum ini, pemain kelahiran Ghana berusia 30 tahun itu sudah menyertai kem latihan skuad kebangsaan namun tidak disenaraikan ketika dua perlawanan kelayakan itu menentang Laos pada Oktober lalu akibat isu dokumentasi yang belum selesai sepenuhnya.
Namun, segala persoalan itu dijangka terjawab tidak lama lagi apabila ketua jurulatih, Peter Cklamovski, mengesahkan urusan dokumentasi Mintah kini berada di fasa terakhir dan memberi bayangan bahawa penyerang prolifik itu bakal memperkuat jentera serangan negara.
“Saya difahamkan masih ada sedikit urusan dokumentasi yang perlu diselesaikan. Namun, ia kini di peringkat akhir dan saya percaya Mintah boleh tersedia untuk dipilih bagi perlawanan menentang Nepal,” katanya.
Kehadiran Mintah dijangka menambah sengat di barisan depan yang kini turut dibarisi nama-nama seperti Arif Aiman Mohd Hanapi, Faisal Halim, Aliff Izwan Yuslan, Paulo Josue, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah Usman.
Harimau Malaya kini berada pada landasan terbaik dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut untuk menduduki tangga teratas Kumpulan F dengan 12 mata, tiga mata mengatasi pencabar utama, Vietnam.
Cklamovski turut mengesahkan bahawa pasukannya hanya akan berdepan pasukan ranking 180 dunia itu, dalam jendela perlawanan antarabangsa bulan ini tanpa sebarang aksi persahabatan.
Beliau mahu menumpukan sepenuhnya kepada kem latihan bagi memperkemas taktikal pasukan seperti mana yang dilakukan ketika menentang Nepal pada aksi pertama Kumpulan F, Mac lalu.
“Kami merancang kem ini sebagai blok latihan. Jika anda ingat, pada bulan Mac dulu anda pun tanya soalan yang sama. Ketika itu juga kami gunakan kem pertama sebagai blok latihan dengan fokus kepada satu perlawanan di hujung kem.
“Kami lakukan perkara sama kali ini, dari hari pertama Mac hingga hari pertama November, perkembangan pasukan amat ketara dari segi fizikal, intensiti permainan, tempo, pemahaman taktikal dan kefahaman peranan setiap pemain tidak kira siapa yang bermain.
“Itulah bentuk pasukan yang kami mahu bina, sebab itu kami guna model kem ini. Apa yang pasukan lain buat tidak penting bagi saya, kami fokus kepada cara kami sendiri dan bersedia untuk mencipta kemenangan,” jelas pengendali dari Australia itu. – UTUSAN











