LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui aksi ‘berkarat’ Alexander Isak dan Hugo Ekitike telah menyumbang kepada kemerosotan prestasi Liverpool dalam semua saingan musim ini.
Menurut Slot, kegagalan menjalani pramusim penuh menjadi punca penyerang baharu mereka, Isak yang bernilai 130 juta pound (RM734 juta), gagal menyesuaikan diri selepas berpindah dari Newcastle.
Pengendali dari Belanda itu turut menjelaskan Isak dan satu lagi pembelian besar, Ekitike yang bernilai 69 juta pound (RM389 juta) tidak cukup bersedia menghadapi jadual padat Liverpool musim ini.
Selain itu katanya, kecederaan yang menimpa Jeremie Frimpong yang dibeli 29.5 juta pound (RM166 juta) dan pertahanan kanan Conor Bradley, serta Isak sendiri, turut menjejaskan perancangan pasukan.
“Saya hanya menguruskan keadaan yang ada. Isak contohnya, terpaksa jalani pramusim di tengah musim. Orang boleh bertanya, ‘kenapa masih mainkan dia?’ Tapi kami perlukan dia, jika tidak Ekitike perlu bermain setiap perlawanan.
“Kami bermain 60 perlawanan semusim di sini, jadi saya perlu biasakan dia dengan kadar itu,” kata Slot yang turut mengakui Florian Wirtz, Frimpong dan penjaga gol Giorgi Mamardashvili masih kekurangan pengalaman Liga Perdana Inggeris (EPL).
Slot berharap Ryan Gravenberch yang mengalami kecederaan dapat kembali beraksi menentang Aston Villa hujung minggu ini, namun mengakui masalah kecederaan pemain bukanlah sesuatu yang baharu.
“Frimpong dan Bradley juga keluar masuk kerana kecederaan, sebab itu kadang-kadang saya terpaksa gunakan Dominik Szoboszlai di posisi bek kanan. Itu bukan alasan, tapi realiti.
“Tahun lalu, semua pemain saya sihat dan sudah ada pengalaman Liga Perdana sekurang-kurangnya semusim. Mungkin masa itu kami bernasib baik, tapi sekarang mungkin sebaliknya.
“Peluang yang kami cipta daripada permainan terbuka masih cukup untuk bersaing. Saya juga tidak nampak kami bolos terlalu banyak peluang,” kata Slot. – AGENSI/UTUSAN










