Belanda menunggu selepas baham Austria

Belanda menunggu selepas baham Austria

Pemain-pemain skuad negara meraikan jaringan gol menentang Austria dalam saingan Piala Dunia Remaja 2025 di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, Tamil Nadu, semalam. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Young Tigers memastikan kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2025 dibuka dengan cemerlang apabila membelasah Austria 5-1 di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, Tamil Nadu, semalam.

Pada aksi pertama Kumpulan E itu, skuad hoki remaja negara nyata mengikut segala perancangan ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin sehingga mampu mencatat kemenangan besar.

Menurut Nor Saiful, kemenangan ini diperolehi berikutan analisis yang telah dilakukan ke atas Austria dan pendekatan corak permainan diterapkan membuahkan hasil dimahukan.

Jelasnya, sememangnya misi awal turun pada perlawanan ini adalah meraih tiga mata dan melihat kepada cara permainan Austria, ia sama seperti apa yang dijangka sekali gus memudahkan pendekatan taktikal yang dirancang.

“Kita turun memang sasar tiga mata dan kita melihat cara bermain Austria pada hari ini (semalam) sama seperti analisis kita dan apa yang telah dijangka.

“Jadi, kita berjaya menutup kelebihan-kelebihan mereka iaitu Austria selalu memberi bola panjang maka kita melakukan cabaran berdepan situasi bola panjang, situasi satu lawan satu.

“Saya fikir banyak yang kita dapat tutup pada hari ini dan sebab itu nampak kita mudah bermain menentang mereka dan juga kita berjaya memberi tekanan serta menolak mereka ke dalam kotak D mereka sendiri. Itu nampak positif dan kita bermain dengan baik pada hari ini,” katanya selepas perlawanan.

Pada aksi itu, suku pertama menyaksikan perlawanan agak seimbang antara kedua-dua pasukan apabila tiada jaringan terhasil namun penantian skuad Young Tigers akhir tiba pada minit ke-28 menerusi penyudah pukulan sudut penalti oleh Muhammad Harris Iskandar Osman.

Kem negara terus bersorak gembira apabila Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari menggandakan kedudukan hasil gol padang pada minit ke-47, disusuli penyudah Naaveennesh Panicker lapan minit kemudian apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi meletakkan Malaysia mendahului 3-0.

Austria cuba bangkit selepas Julian Kaiser menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 namun Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menyentap semangat juang lawan apabila meledak dua gol padang masing-masing pada minit ke-56 dan m-57 sekali gus menghadiahkan kemenangan bergaya buat Malaysia.

Malaysia akan berdepan Belanda hari ini dan menutup saingan Kumpulan E menentang England, selasa ini dengan sasaran minimum mara ke suku akhir bagi memperbaiki pencapaian edisi terdahulu.

Dalam edisi lalu, Malaysia sekadar menamatkan kempen di tangga ke-12 daripada 16 pasukan, manakala Jerman muncul juara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN