Young Tigers tamat saingan tempat kelima

Young Tigers tamat saingan tempat kelima

Pemain Malaysia, Muhammad Zubir berjaya menewaskan penjaga gol New Zealand, Matthew Ruetsch pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor di Perbadanan Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Skuad hoki remaja negara menamatkan saingan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Piala Sultan Johor (SOJC) di tempat kelima selepas menewaskan New Zealand 5-3 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, petang tadi

Pada perlawanan itu, anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit kedua hasil jaringan Harris Iskandar Osman menerusi pukulan sudut penalti.

Cuaca panas terik tampak menyukarkan skuad kendalian Mike Delaney beraksi di tahap sebenar dan bermain corak permainan pantas bagi memburu jaringan.

Young Tigers yang mendominasi suku pertama itu terus menjarakkan kedudukan menerusi gol padang berpunca umpanan kapten, Danish Aiman Khairul Anwar kepada Haziq Zunnurain Mohd. Azhary yang bijak memperdayakan penjaga gol, Matthew Ruetsch pada minit ke-10.

Pada suku kedua, Black Sticks mengganda asakan untuk mengurangkan defisit jaringan namun gagal merungkai pertahanan pasukan tuan rumah, malah pukulan sudut penalti yang dimenangi juga tidak disudahkan dengan sempurna.

Skuad hoki remaja negara hampir menambah derita buat New Zealand namun percubaan Atif Aqil Zubir pada minit ke-28 berjaya dihadang oleh pemain pertahanan lawan.

Bersambung suku ketiga, benteng pertahanan Malaysia tampak hilang fokus seketika dan New Zealand menggunakan peluang itu menghukum Young Tigers dengan menjaringkan gol yang dihasilkan Bradley Rothwell pada minit ke-32.

Seminit berselang, New Zealand hampir memperoleh gol penyamaan menerusi percubaan Dean Clarkson namun penjaga gol, Haziq Muizuddin Hairul Mizan tangkas menepis bola keluar.

Pada minit ke-42, Black Sticks hampir menambah jaringan namun percubaan kapten, Gus Nelson sedikit tersasar daripada pintu gol Malaysia.

Sebelum tamat suku ketiga, umpire dari India, Mohit Rawat menghadiahkan Young Tigers ‘penalty stroke’ setelah mengesan kekasaran dilakukan Jakarta Klebert terhadap Haziq Zunnurain dan beberapa saat sebelum perlawanan ditamatkan, Malaysia menjarakkan kedudukan menerusi gol padang yang dihasilkan Danish Irfan Muhammad Saufi membolehkan Young Tigers menang 5-3. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN