PETALING JAYA: Selangor FC terpaksa melupakan khidmat Sharul Nazeem Zulpakar musim ini selepas pertahanan tengah itu mengalami kecederaan serius ketika berdepan Kuala Lumpur City (KL City) pada Ahad lalu.
Pihak pengurusan Merah Kuning mengesahkan pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dan bahagian meniscus, sekali gus dijangka berehat panjang sehingga berakhir musim ini.
“Daripada keputusan ujian MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) yang dilakukan, beliau disahkan mengalami kecederaan ACL dan meniskus.
“Beliau akan menjalani program prapemulihan selama dua minggu bagi mengurangkan kesakitan, bengkak serta meningkatkan daya pergerakan kaki sebelum menjalani pembedahan, yang dijangka melibatkan rekonstruksi ACL dan pembaikan meniskus.
“Seluruh warga kelab Gergasi Merah, rakan sepasukan, staf, dan para penyokong sentiasa berada di belakang Afro (Sharul Nazeem). Terus kuat dan positif sepanjang tempoh pemulihan ini,” kata Selangor FC.
Ketika berdepan KL City, Sharul Nazeem tidak dapat meneruskan permainan pada minit ke-38 akibat kecederaan. Susulan itu, pengendali Selangor, Christophe Gamel memasukkan Harith Haiqal Adam Afkar sebagai pengganti beliau.
Situasi yang menimpa Sharul Nazeem pastinya merumitkan perancangan Gamel lebih-lebih lagi menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC hari ini, biarpun mereka mempunyai kelebihan jaringan yang besar.
Dengan ketiadaan Sharul Nazeem, pertahanan Harimau Malaya Harith Haiqal dijangka menjadi pilihan jurulatih Perancis itu untuk bergandingan dengan Richmond Ankrah di bahagian pertahanan. – UTUSAN










