Pearly-Thinaah mahu satu lagi gelaran Eropah
oleh KHAIRUL IDHAM MOHAMED ZARAAI
[email protected]
PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan–M. Thinaah enggan sekadar berpuas hati dengan kejuaraan Terbuka Arctic 2025, sebaliknya memburu satu lagi gelaran di bumi Eropah apabila kempen Terbuka Denmark membuka tirai hari ini.
Kejayaan bergaya menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi 21-7, 21-9 di Vantaa, Finland kelmarin menjadi pembakar semangat buat gandingan No. 1 Malaysia itu untuk terus mengekalkan rentak kemenangan.
“Kami sangat gembira dengan prestasi hari ini (kelmarin). Kami saling mengingatkan dan menyokong antara satu sama lain sepanjang perlawanan.
“Kami akan menikmati hidangan enak untuk meraikan kemenangan ini, kemudian kembali fokus dan bersedia menghadapi Terbuka Denmark,” kata Thinaah.
Pearly-Thinaah bakal memulakan cabaran di Odense yang berstatus Super 750 menentang pasangan Indonesia, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum dalam aksi pusingan pertama.
Edisi kali ini menjadi medan penting buat mereka menebus kekecewaan tahun lalu apabila tersingkir di suku akhir kepada lawan sama dari Jepun, Iwanaga–Nakanishi.
Kejayaan di Terbuka Arctic bukan sekadar penebus maruah musim lalu, malah mengukuhkan kedudukan mereka dalam ranking dunia menjelang penghujung musim 2025.
Setakat ini, Pearly-Thinaah sudah merangkul lima kejuaraan Jelajah Dunia BWF termasuk Terbuka Switzerland 2021, Perancis 2022, Hong Kong 2024, Thailand 2025 dan terkini Terbuka Arctic.
Gandingan kendalian Rosman Razak itu turut memperlihatkan kematangan dan kestabilan prestasi apabila mara ke enam final musim ini sekali gus petanda mereka kini berada di kemuncak karier.
Berbekalkan keyakinan baharu dari Finland, Pearly-Thinaah kini bersedia memburu satu lagi mahkota Eropah dengan baki dua lagi peluang di Terbuka Perancis (21–26 Oktober) serta Terbuka Hylo di Jerman (28 Oktober–2 November). – UTUSAN











