Misi baiki kedudukan liga - Amorim

Misi baiki kedudukan liga – Amorim

Ruben Amorim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mahu barisan pemainnya mengekalkan rentak kemenangan bagi memastikan The Red Devils dapat memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

United akan berdepan Nottingham Forest di City Ground pada Sabtu ini dengan momentum positif selepas melakar tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan EPL dengan Brighton menjadi mangsa terbaharu di Old Trafford.

Amorim menganggap prestasi pemain ketika menumpaskan Brighton 4-2 minggu lalu sebagai aksi yang paling lengkap, malah lebih baik daripada kejayaan menewaskan juara bertahan, Liverpool di Anfield dalam ksi terdahulu.

“Apabila semangat kami berubah, kami bermain dengan lebih bebas dan yakin. Persembahan ini sangat penting, tetapi ia tidak akan jadi Manchester United sebenar jika kami tidak sedikit ‘menderita’ di hujung perlawanan.

“Saya berharap pemain dapat mengekalkan momentum ini untuk meletakkan pasukan di kedudukan terbaik dalam liga, ini adalah jawapan kepada prestasi sebelum ini dan saya mahu momentum ini dapat diteruskan,” kata Amorim.

Kemenangan 2-1 ke atas Liverpool memberi suntikan moral besar buat Amorim selepas permulaan musim yang bergelora dan kemenangan terbaru menentang Brighton mengangkat United ke tangga keempat liga sebelum baki perlawanan hujung minggu berlangsung.

“Saya tidak pernah rasa malu ketika gagal menang, kerana saya tahu (pemilik bersama) Jim Ratcliffe tetap percaya. Tapi untuk berdepan penyokong dalam tempoh itu memang sukar. Dalam bola sepak, segalanya boleh berubah dalam seminit.

“Kami belajar daripada detik sukar dan kini bertindak balas dengan cara berbeza. Anda boleh lihat pasukan ini bermain jauh lebih baik berbanding musim lalu,” kata Amorim.

Selepas tiga kemenangan berturut-turut, keharmonian bilik persalinan United juga berbeza dengan pemain saling memberi sokongan, berbanding zaman zaman suram mereka yang mana pemain membawa haluan masing-masing. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN