Manchester United terus garang

Manchester United terus garang

Pemain tengah Manchester United, Bryan Mbeumo (kanan) menggayakan aksinya selepas menjaringkan gol menentang Brighton, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan kemenangan 4-2 pasukannya ke atas Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford sebagai lebih bermakna berbanding kejayaan menundukkan Liverpool minggu lalu.

Dalam perlawanan itu , Bryan Mbeumo meledak dua gol manakala Matheus Cunha dan Casemiro masing-masing menambah satu jaringan untuk memastikan kemenangan ketiga berturut-turut United yang yang tidak pernah dicapai sejak Ogos 2024 sebelum Amorim mengambil alih tugas pengurus.

United yang kini mendaki ke tangga keempat liga bagaimanapun hampir dikejutkan apabila Brighton bangkit di hujung permainan, namun skuad kendalian Amorim kekal tenang untuk memastikan tiga mata berharga kekal di Manchester.

“Pemain memahami dengan baik apa yang perlu dilakukan pada setiap masa. Kami terpaksa menderita sedikit di penghujung permainan, tetapi ia tidak akan menjadi United tanpa sedikit penderitaan.

“Saya rasa persembahan hari ini lebih lengkap berbanding ketika menewaskan Liverpool. Ketika itu kami berhak menang.

“Tetapi kali ini kami benar-benar melakukan segala-galanya. Saya lebih suka kemenangan ini,” kata Amorim selepas perlawanan.

Amorim turut memuji aksi Cunha yang menjaringkan gol pertamanya buat kelab itu serta ketajaman Mbeumo yang disifatkannya sebagai ‘mesin yang tidak pernah berhenti bekerja’.

“Cunha semakin yakin dan saya suka cara dia bertahan hari ini. Dia tenang ketika menguasai bola dan tidak mudah panik.

“Manakala Mbeumo pula sangat luar biasa dalam peralihan serangan. Gandingannya bersama Amad Diallo amat berbahaya kerana kedua-duanya pantas dan hebat dalam situasi satu lawan satu,” jelasnya.

Selepas kemenangan itu, Amorim berkata, fokus pasukan adalah untuk mengekalkan momentum cemerlang dalam usaha memburu kelompok teratas Liga Perdana. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN