SELAIN isu Akuan Bersumpah (SD) membabitkan 120 Ketua Bahagian semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), timbul pula pendedahan semula video intim dikaitkan dengan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Hasilnya, Bersatu sekali lagi dilanda ribut yang menggoncang maruah parti.
Gelora ini menimbulkan persoalan besar, adakah semua ini benar-benar atas nama perjuangan menegakkan kebenaran atau sekadar helah politik untuk membakar rumah sendiri yang akhirnya memakan seluruh parti?
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), HARRIS IDAHAM RASHID, mengakui terkejut dengan tindakan segelintir pihak dalam parti yang dilihat mempunyai agenda peribadi. Beliau menyifatkan tindakan itu seolah-olah sanggup menconteng arang ke muka sendiri hanya untuk kepentingan sempit.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau menegaskan pergolakan ini perlu segera diselesaikan. Tambahnya, parti tidak boleh terus tenggelam dalam drama dalaman kerana Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) hanya berbaki dua tahun lagi.
Komen tentang kekecohan yang berlaku?
Konten yang tersebar tidak wajar untuk dikongsikan. Saya berpandangan Wan Saiful Wan Jan (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan ahli Parlimen Tasek Gelugor) seharusnya menjawab isu-isu berbangkit dalam lembaga disiplin untuk mendapatkan keadilan, bukan bermain di ‘mahkamah persepsi’ rakyat sehingga memukul kawan sendiri, termasuk Ketua Penerangan.
Jika tujuan penjelasan hanya untuk menjernihkan isu Akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 Ketua Bahagian, contohnya menyatakan tiada niat menjatuhkan Presiden itu wajar. Namun ia perlu berhenti di situ, tanpa menyerang pihak lain. Armada tidak bersetuju dengan tindakan ‘friendly fire’ di luar parti.
Bagaimana cara memulihkan imej parti?
Parti memerlukan tindakan tegas. Pertama, undang-undang dan disiplin mesti ditegakkan. Lembaga disiplin perlu berfungsi dan jika terbukti ada kesalahan, hukuman wajar dijatuhkan sama ada penggantungan atau lebih berat bergantung pada tahap kesalahan. Jika ada justifikasi, ia boleh dipertimbangkan, namun secara realistik tindakan yang dilakukan membuka ruang persepsi buruk di mata rakyat dan media.
Lebih mengecewakan, kenyataan yang seakan datang daripada pihak lawan rupa-rupanya lahir daripada ‘rumah sendiri’, ibarat membakar rumah sendiri hingga sukar dipadamkan. Maka, tindakan disiplin tidak boleh dielakkan.
Kedua, proses pendamaian mesti segera digerakkan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Lembaga disiplin mesti segera bersidang, memanggil semua pihak, mendengar penjelasan dan menjatuhkan hukuman dengan adil. Prinsipnya mudah, jika salah, tetap salah.
Kenapa agaknya isu ini dibangkitkan?
Marah berkenaan PAT. Kononnya tidak cukup kerusi untuk ketua bahagian duduk di bahagian depan. Untuk perkara itu, ditekankan di sini, saya juga sudah lima tahun dalam Bersatu. Memang tiada kerusi khas untuk ketua bahagian. Ketua bahagian adalah perwakilan seperti orang lain. Jadi, siapa awal, dia dapat tempat.
Kalau mahu ada kerusi khas, duduk depan-depan, jadi MPT dulu. Isu ini sebenarnya remeh.
Pandangan tentang video intim dikaitkan dengan Mohamed Azmin?
Apa sebenarnya niat mereka? Bukankah kita dalam pasukan yang sama atau mereka menganggap kita sedang berlawan? Jika pemimpin ada masalah sekalipun, itu bukan tugas kita untuk membongkar kelemahan, biarlah pihak lawan yang lakukan. Peliknya, lawan diam tetapi kita pula yang beria-ia membuka pekung sendiri.
Walaupun Wan Saiful mengakui hubungannya dengan Mohamed Azmin ‘sejuk’, itu bukan lesen untuk mendedahkan masalah parti di luar. Semua orang tahu beliau sehaluan dengan Timbalan Presiden dan itu bukan isu. Namun cara untuk mengangkat seseorang tidak boleh dengan ‘membunuh’ atau ‘menibai’ rakan sendiri. Perlu diingat, tiada makna Datuk Seri Hamzah Zainudin menang atau Mohamed Azmin kalah, selagi Perikatan Nasional (PN) belum menjadi kerajaan.
Anda cuba cakap ada gerakkan untuk jatuhkan Mohamed Azmin? Ada kemungkinan sedemikian?
Individu yang mengumpul dan mengedarkan SD itu ialah dirinya sendiri. Sama ada menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin atau tidak, tafsiran bukan di tangannya tetapi di bawah kuasa lembaga disiplin parti.
Ramai ketua bahagian menegaskan SD yang dibacakan bukanlah dokumen yang mereka tandatangani, malah perenggan ketiga yang disebut Wan Saiful tidak pernah wujud dalam naskhah asal. Justeru, bagaimana mahu buang orang lain?
Bahkan, bukan tugas Wan Saiful untuk mengesahkan isu video itu. Negara ada undang-undang, laporan polis sudah dibuat sejak 2019 dan pendakwa raya pun sudah membuat keputusan.
Apa yang berlaku kini lebih kepada dendam politik untuk menghidupkan kembali isu lama, mencalar imej setiausaha agung. Hakikatnya, usaha untuk menyingkirkan beliau dari parti bukan sahaja sukar, malah lebih memudaratkan parti sendiri.
Dengan apa yang berlaku, orang akan melihat tiada kesepakatan dalam Bersatu dan ini adalah titik kelemahan, setuju?
Setuju, tiada siapa akan kata kita kuat tetapi dalam setiap perkara buruk pasti ada sisi baik. Jika ada pihak berniat menggugat parti, lebih baik ia dikenal pasti sekarang dan diambil tindakan segera, daripada dibiarkan hingga terlambat.
Inilah masa terbaik untuk semua pemimpin, termasuk Muhyiddin menilai semula kekuatan parti dan memperkukuhkannya. Kita tidak punya banyak masa, pilihan raya umum tinggal dua tahun lagi.
Seperti saya sebutkan, dalam setiap krisis ada hikmah. Nasib baik kita masih pembangkang, kalau mahu bergolak, biarlah sekarang, bukan ketika memegang tampuk kuasa.
Tidak malu dengan Pas yang perhimpunan tahunan mereka lebih tenang dan matang?
Pas perlu faham, parti berusia lebih 70 tahun tidak sama dengan parti muda seperti kami yang baru berusia 9 tahun. Kematangan dan disiplin dalaman tentu berbeza. Kami sedang melalui proses keremajaan demokrasi yang pernah dilalui semua parti.
Semasa menyertai PKR selama 10 tahun antara 2010 hingga 2020, bukan tiada drama atau onar malah kerusi, meja pun melayang. Ketika itu mereka melalui proses itu (kematangan).
Walaupun parti itu jauh lebih tua tetapi pemilihan baru-baru ini juga tidak kurang dengan cerita penipuan dan sebagainya termasuk isu Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) serta Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif (DAMAI).
Proses pendewasaan politik memang ambil masa. Pas kini mencapai tahap disiplin tinggi dalam konsultasi, sedangkan parti baharu masih mencari rentak. Namun perjalanan ini penting, jangan biarkan parti lesu atau runtuh. Jika ada ‘kanser’, ia mesti dibuang agar parti kekal sihat dan terus mara ke hadapan.
Anda dikatakan ‘orang kuat’ Mohamed Azmin, betulkah?
Saya mengenali Mohamed Azmin sejak 2010 ketika beliau menjadi Timbalan Presiden dalam parti lama. Sejarah itu tidak boleh dipadam, namun hari ini saya berada dalam Bersatu sebagai Ketua Bahagian, Ketua Penerangan Armada dan wakil PN di Parlimen Balik Pulau.
Saya menghormati semua pemimpin kerana kita sama-sama memegang amanah parti. Sejarah peribadi tidak boleh mengatasi perjuangan parti. Lagipun, jawatan yang dipertandingkan hujung tahun lalu masih baru, belum pun setahun, sedangkan tempoh sah hingga 2027.
Jadi mengapa sibuk mendesak siapa patut turun atau diganti? Jika ada yang yakin layak, buktikan dalam pemilihan nanti. Setelah kita bersetuju dengan pelan penggantian Muhyiddin, wajarlah semua pihak patuh dan meneruskan perjuangan bersama. –UTUSAN










