KUALA LUMPUR: Berdepan jadual padat, ditambah dengan persaingan yang lebih terbuka dalam beregu badminton lelaki merupakan cabaran besar buat pasangan No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini mengalami kemerosotan prestasi.
Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi berkata, prestasi beregu No. 2 dunia itu memang diakui mengalami penurunan selepas Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.
“Ya betullah, memang kondisi mereka menurun, selepas di Kejohanan Dunia ini memang penampilan mereka turun. Mungkin juga rehat tak cukup kerana selepas itu cuma ada satu minggu sebelum pergi Hong Kong, kondisinya memang tak bagus. Itu harus kita akui,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Selasa lalu.
Katanya, masa rehat yang mencukupi amat penting buat seseorang pemain kerana beraksi di dalam gelanggang dalam keadaan yang tidak 100 peratus cergas juga boleh mengundang kecederaan yang tidak diingini.
Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, setiap pemain akan mengalami turun, naik prestasi dan tiada pemain yang naik terus, jadi, amat penting untuk bijak mengatur masalah tersebut dengan susunan jadual ke kejohanan-kejohanan yang penting sahaja.
“Walaupun Aaron-Wooi Yik ada penurunan, tetapi, dari satu sisi lain pula, kita ada beregu seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King yang menunjukkan kemajuan.
“Jadi, menurut saya, persaingan untuk beregu lelaki ada keseimbangannya, tetapi, untuk sasaran yang kita letakkan, mereka gagal capai sasaran meraih gelaran pada Kejohanan Dunia,” tegasnya.
Beliau berkata, selepas ini, anak-anak buahnya akan mengharungi Jelajah Eropah pula dan diharap perjuangan Malaysia di benua tersebut dapat menuai hasil. – UTUSAN











