Kane bayang tamat karier di Amerika Syarikat

Kane bayang tamat karier di Amerika Syarikat

Harry Kane (kiri) tidak bercadang kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Penyerang England, Harry Kane memberi bayangan tidak akan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bersedia untuk menamatkan kariernya Amerika Syarikat (AS).

Kapten England itu mengakui selesa mengemudi jentera serangan Bayern Munich selepas meledak lebih 100 gol bersama kelab itu dan mendahului senarai penjaring Bundesliga.

Kane berkata, dia sedia menandatangani kontrak baharu bersama gergasi Jerman itu selepas dua musim yang berjaya, sejak berhijrah dari Tottenham dengan nilai 104 juta pound (RM588 juta).

“Untuk kekal lebih lama di Bayern, saya boleh bayangkan kemungkinan itu. Saya belum berbincang dengan pihak kelab tetapi jika perbincangan itu berlaku, saya sedia mendengarnya.

“Semuanya bergantung kepada apa yang kami capai bersama dalam tempoh setahun atau dua tahun ini. Buat masa ini saya sepenuhnya fokus dengan Bayern,” kata Kane.

Kane, yang menjaringkan 18 gol dalam 10 perlawanan musim ini, mengakui pandangannya terhadap kepulangan ke England sudah berubah sejak berpindah ke Bundesliga.

“Kalau dua tahun lalu anda tanya, saya akan kata sudah tentu saya akan kembali. Sekarang, selepas beberapa tahun di sini, keinginan itu sedikit berkurangan walaupun saya tidak menolak kemungkinan itu sepenuhnya.

“Bermain di Amerika? Masih terlalu awal. MLS mungkin akan jadi pilihan di penghujung karier saya nanti,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Bintang Bayern itu juga memuji pengendali pasukan, Vincent Kompany, yang menurutnya memberi impak positif kepada prestasi dirinya.

“Saya sukakan pengurus kami, dia luar biasa. Selagi saya terus meningkat dan kami berkembang sebagai pasukan, saya gembira di sini,” tambah Kane.

Kontrak semasa Kane bersama Bayern mempunyai klausa pelepasan bernilai 56.7 juta pound (RM321 juta) yang boleh diaktifkan pada musim panas depan.

“Saya masih ada musim ini dan satu lagi. Tidak ada sebab untuk panik. Kalau ada sambungan kontrak, ia mesti memberi manfaat kepada semua pihak dan selari dengan hala tuju kelab,” tambahnya.

Kane dijangka akan mengetuai skuad England menentang Wales dalam aksi persahabatan Khamis ini, sebelum berdepan Latvia dalam kelayakan Piala Dunia minggu depan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN