ZAMAN pengglobalan mengubah landskap kehidupan manusia. Hasilnya, warga dunia kini hidup dalam dunia tanpa sempadan di mana berita dan maklumat daripada seluruh pelosok dunia tersebar sepantas kilat dan dapat dicapai sesiapa sahaja, asalkan ada capaian internet.
Hal ini membuka pintu seluas-luasnya kepada pelbagai unsur asing, untuk menyelinap masuk, termasuklah berkaitan kebudayaan. Ia boleh dilihat melalui pengaruh dan fahaman asing yang bertentangan dengan amalan hidup tempatan, lantas mempengaruhi dan mengubah corak pemikiran serta cara hidup masyarakat tersebut.
Kesannya kepada kehidupan masyarakat terbabit banyak bergantung kepada kekuatan jati diri serta tahap kesedaran dalam jiwa masing-masing untuk menangani keadaan sebegini.
Terpulang kepada mereka untuk memilih, sama ada sentiasa mencari nilai yang baik untuk diikuti atau sekadar membiarkan diri menjadi pak turut ibarat daun lalang yang bergerak mengikut tiupan.
Ramai beranggapan segala sesuatu yang datang dari negara maju dianggap lebih baik dan moden berbanding dengan apa yang wujud dalam kehidupan mereka selama ini.
Tidak kurang pula yang mudah terpesona dengan perkara baharu dan dianggap moden, lantas mengikut apa sahaja yang dilihat walaupun ia jelas bertentangan dengan norma budaya serta identiti.
Hal ini turut mempengaruhi kaedah keibubapaan, suatu asas yang amat penting untuk menentukan corak peradaban dunia di masa hadapan.
Dahulunya seperti banyak perkara lain, kaedah keibubapaan dipengaruhi budaya dan corak kehidupan masyarakat setempat. Agama yang mereka anuti turut memainkan peranan besar dalam hal ini.
Orang Asia misalnya, selalu dikaitkan dengan kaedah pengibubapaan yang lebih tegas, khasnya orang Cina yang terkenal dengan kaedah ‘tiger parenting‘ (pengibubapaan harimau) berbanding sesetengah masyarakat di Barat.
Sungguh pun perkara ini dilihat sebagai satu kaedah yang berkesan oleh masyarakat Cina, namun pakar psikologi Barat menyifatkan kaedah ini terlalu keras dan boleh menyebabkan banyak kesan buruk secara langsung mahupun tidak langsung.
Malah, ada juga beranganggap kaedah keibubapaan yang tegas tidak baik untuk perkembangan minda kanak-kanak, walaupun tanpa kekerasan.
Mereka berpendapat tidak patut ada peraturan dan anak-anak tidak boleh ditegur apatah lagi dimarahi dalam apa keadaan sekali pun, biar pun mereka bertindak kasar ke atas orang lain.
Menurut mereka lagi, disiplin akan merencatkan pembangunan intelek, daya taakul serta daya kreativiti kanak-kanak berkenaan.
Kesannya, kini ramai ibu bapa di rantau Asia turut terpengaruh dan percaya mereka mesti bersikap permisif dalam mendidik anak-anak.
Hal ini berlarutan sehinggakan anak-anak tersebut diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja tanpa ditegur, termasuklah ketika berada di tempat awam serta di rumah orang lain.
Persoalannya, benarkah kaedah didikan yang permisif akan melahirkan suasana kondusif untuk kanak-kanak ini membesar dengan baik dan menggalakkan perkembangan intelektual mereka?
Memang benar kanak-kanak perlukan perhatian, kelembutan dan kasih sayang ketika membesar.
Mereka juga harus digalakkan meneroka persekitaran agar dapat mengenali dunia dan belajar berfikir tentang pelbagai perkara. Ini bagi membolehkan mereka hidup bersandarkan realiti, bukan dunia khayalan.
Amat malang jika minda anak-anak dipenjara dan tidak dibenarkan berfikir di luar tembok yang dibina. Yang ada dalam minda mereka hanyalah maklumat yang disuapkan oleh ibu bapa.
Namun begitu, ibu bapa yang bersikap permisif dan menurut sahaja semua kemahuan anak-anak juga akan menyebabkan banyak kesan buruk kepada perkembangan minda dan tingkah laku.
Mereka harus dibimbing agar faham aturan yang perlu mereka ikuti dan bukannya dibiarkan bebas berbuat apa sahaja tanpa kawalan.
Jika kita melihat kaedah keibubapaan yang bersifat terlalu keras sebagai bermasalah, begitu jugalah halnya dengan kaedah keibubapaan yang bersifat permisif.
Amatlah penting bagi untuk tidak bersikap melampau supaya ada keseimbangan dalam kaedah memberi bimbingan.
Ibu bapa yang bersikap terlalu permisif akan menjadikan kanak-kanak angkuh, mementingkan diri dan sukar dinasihati sehinggakan membesar menjadi orang yang suka memberontak dan bersikap anarkis.
Kita perlu menanam sifat ihsan yang membawa kepada kebaikan serta menjauhi dari kemungkaran dan bukannya semata-mata berlembut seperti yang selalu dilihat dalam kalangan mereka yang menggunakan cara permisif.
Kanak-kanak mesti diajar tentang nilai-nilai baik yang perlu mereka praktikkan seperti berdisiplin, menjaga tatatertib, menghormati ibu bapa dan sebagainya.
Pemahaman tentang apa yang betul dan salah sangatlah penting dalam membina sahsiah diri serta jati diri yang teguh.
Hal ini amat penting bagi mengelakkan masalah sosial dalam masyarakat yang akhirnya akan menggugat kesejahteraan negara.
Anak-anak yang membesar tanpa panduan akan lebih mudah hanyut dipengaruhi budaya songsang dan bertentangan dengan agama, budaya dan adat susila apabila terdedah kepada dunia luar.
Ibu bapa harus tegas dalam mendisiplinkan anak-anak tetapi tidak bertindak terlalu keras sehingga tiada sikap bertolak ansur serta menafikan suara dan pendapat mereka.
Memahami kekurangan dan kelebihan mereka juga penting, begitu juga dengan sifat semula jadi dan keadaan emosi anak pada ketika itu.
Perhatian serius harus diberikan apabila melibatkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) terutamanya yang terselindung seperti autisme dan lain-lain.

KESAN KEPADA MASYARAKAT
Dunia sudah sarat dengan pelbagai masalah akibat sifat mementingkan diri sendiri, tamak, dendam dan sebagainya. Keadaan akan bertambah buruk jika generasi seterusnya tidak mempunyai sifat ihsan, kasih sayang dan menghormati hak orang lain.
Pendedahan demi pendedahan tentang kes-kes buli di negara kita menunjukkan betapa seriusnya masalah dalam golongan kanak-kanak dan belia pada hari ini.
Amat mudah untuk menyalahkan kerajaan, Menteri Pendidikan mahupun Menteri Pendidikan Tinggi tetapi hakikatnya pembentukan akhlak bermula dari rumah.
Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










