Belanda hampiri Piala Dunia 2026

Belanda hampiri Piala Dunia 2026

Pemain pertahanan Belanda, Virgil van Dijk menanuk bola untuk menjaringkan gol kedua pasukannya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Finland di Johan Cruyff Arena, Amsterdam, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Belanda mencerahkan peluang untuk mara ke Piala Dunia 2026 selepas membenam Finland 4-0, semalam untuk terus menerajui Kumpulan G dengan 16 mata.

Dalam aksi di laman sendiri itu, Memphis Depay turut mengukuhkan statusnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Belanda apabila meledak gol ke-54.

Donyell Malen membuka tirai jaringan di Johan Cruyff Arena seawal minit kelapan sebelum kapten Virgil van Dijk menambah gol kedua sembilan minit kemudian.

Depay kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38 untuk melebarkan rekod peribadinya selepas memintas catatan Robin Van Persie (50 gol) bulan lalu.

Pesta jaringan The Orange dilengkapkan oleh bintang Liverpool, Cody Gakpo dengan gol keempat enam minit sebelum tamat, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh.

Kemenangan itu menyaksikan Belanda hanya memerlukan satu kemenangan di tempat lawan menentang Poland pada 14 November depan untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026.

“Ia perlawanan yang baik dari awal hingga akhir dengan jaringan berkualiti. Kami tenang mengawal bola dan kekal dominan hingga wisel penamat untuk mengutip tiga mata penuh, ” kata Van Dijk.

Selepas dikritik hebat susulan persembahan longlai ketika menang 4-0 ke atas Malta pada Khamis lalu, Belanda tampil lebih garang kali ini apabila Malen memanfaatkan gerakan pantas satu-dua bersama Depay untuk menjaringkan gol pembukaan dalam 10 minit pertama.

Depay turut menjadi perancang bagi jaringan Van Dijk apabila hantaran percumanya ke tiang gol disudahkan ketua pasukan itu dengan tandukan sekali gus menghadiahkan gol ke-11 antarabangsa sempena ulang tahun ke-10 penampilannya bersama skuad kebangsaan.

Jurrien Timber hampir menambah jaringan apabila percubaannya terkena palang sebelum rembatan Justin Kluivert mengenai tangan pertahanan Finland, Miro Tenho sekaligus menghadiahkan penalti yang disempurnakan Depay dengan tenang.

Penyerang berusia 31 tahun itu kini sudah menjaringkan gol dalam enam daripada tujuh penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan.

Belanda mengendurkan sedikit serangan selepas beberapa pertukaran pemain pada babak kedua, namun Gakpo menutup malam gemilang Oranje menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-84. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×