8 meter baru lengkap

8 meter baru lengkap

Abdul Latif Romly (tengah) bersama Muhammad Ziyad Zolkefli (kiri) dan Muhammad Nazmi Nasri menunjukkan pingat yang dimenangi mereka sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Meskipun bergelar pemegang rekod dunia dan juara dunia lima kali, Datuk Abdul Latif Romly mengakui belum puas selagi belum berjaya melepasi jarak lompatan 8 meter (m).

Bintang lompat jauh para negara itu berkata, angka 8m menjadi sasaran peribadinya sejak mula bergiat dalam acara tersebut dan kini lebih bermotivasi selepas kembali ke prestasi terbaik di Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi, bulan lalu.

“Selepas ini mentaliti saya memang dah sangat bersedia dan saya punya sasaran memang nak lompat 8m.

“Sebelum saya jadi atlet lompat jauh pun, memang saya target untuk capai 8m sebab nak rasa sendiri tahap atlet dunia yang sebenar,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Atlet berusia 28 tahun itu sebelum ini melakar sejarah mencipta rekod dunia baharu 7.67 meter dalam acara T20 (kecacatan intelektual) di Kejohanan Olahraga Para Dunia di India bulan lalu.

Namun di sebalik kejayaan itu, beliau mengakui berdepan cabaran getir apabila dua kali mengalami kecederaan lutut sepanjang tahun ini hingga menjejaskan tempoh persediaan.

“Saya ada lima bulan saja untuk persiapan ke kejohanan dunia sebab lutut kiri dan kanan saya pernah luka pada bahagian tulang rawan, tapi alhamdulillah saya puas hati dengan prestasi saya kali ini,” katanya.

Latif kini menumpukan fokus untuk mempertahankan pingat emas keempat di Sukan Para Asia 2026 dan mengintai peluang beraksi di pentas Sukan Paralimpik Los Angeles (LA) 2028 yang mungkin menjadi penamat karier gemilangnya.

“Mungkin sasaran terakhir di LA. Cuba dulu dan lihat prestasi saya bagaimana. Insya-Allah saya akan prepare, saya takkan ambil masa yang lama sebab saya pun 28 dah umur.

“Sebab lompatan ni memang berisiko tinggilah. Mungkin tahun depan ataupun dua tahun lagi sasaran saya untuk bermain lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN