PETALING JAYA: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly kempunan untuk merealisasikan misi serampang dua mata pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila impiannya memecahkan rekod dunia bagi mencerahkan peluangnya beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian.
Bagaimanapun, kekecewaan itu terubat apabila atlet berusia 28 tahun itu berjaya menghadiahkan pingat emas kelima kontinjen negara, sekali gus menepati sasaran yang diletakkan terhadap kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan.
Latif sebelum ini memasang impian untuk memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri sebagai sebahagian daripada usaha melayakkan diri ke Sukan Asia, namun keadaan cuaca yang tidak menentu menjadi penghalang kepada hasrat tersebut.
“Memang betul saya mahu memecahkan rekod dunia, tetapi dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan hujan, agak sukar untuk melakukannya. Kalau cuaca terlalu sejuk memang susah,” katanya.
Meskipun gagal mencipta rekod baharu, Latif tetap bersyukur kerana mampu menyumbang kilauan emas buat Malaysia, sesuatu yang disifatkannya sebagai rezeki yang tidak dijangka.
“Saya pun tak jangka dapat menyumbang pingat emas kelima untuk Malaysia. Ini rezeki saya,” katanya.
Atlet berusia 29 tahun itu memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 selepas melakukan lompatan 7.17 meter (m) menewaskan pencabarnya dari Kanada, Noah Vucsics di tempat kedua (6.66m) manakala gangsa milik wakil Malaysia, Eljoe Gotuoh (6.51m).
Rekod dunia acara lompat jauh T20 milik Latif adalah 7.67m ketika beliau menjuarai Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi pada 28 September lalu sekali gus memadam bacaan 7.64m yang dilakukannya pada Sukan Para Asia 2018.
Bagi melayakkan diri secara merit ke Sukan Asia 2026, Latif perlu menyamai pencapaian atlet di kedudukan keenam, Chan Ming Tai dari Hong Kong yang melakukan lompatan 7.83m pada Sukan Asia 2022. – UTUSAN










