Abdul Latif dapat durian runtuh

Abdul Latif dapat durian runtuh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Jefri Ngadirin (kiri) bersama atlet olahraga para, Abdul Latif Romly (dua dari kiri), Muhammad Ziyad Zolkefli dan Muhammad Nazmi Nasri (kanan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly menerima durian runtuh berjumlah RM79,333 selepas meraih pingat emas serta mencipta rekod dunia baharu di Kejohanan Dunia Para Olahraga di New Delhi, India, minggu lepas.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, ganjaran itu meliputi bayaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) RM69,333 untuk pingat emas serta tambahan RM10,000 kerana memperbaharui rekod dunia.

“Untuk Datuk Abdul Latif Romly, hadiah SHAKAM bagi pingat emas adalah RM69,333, dan bagi rekod dunia baharu RM10,000.

“Jadi jumlah keseluruhan yang beliau akan terima ialah RM79,333,” kata Jefri pada sidang akhbar selepas menyambut kepulangan wira para olahraga negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Bulan lalu, Latif mempertahankan emas ketiga berturut-turut dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) di kejohanan dunia sekali gus memadam rekod dunia miliknya sendiri, 7.64 meter, yang dilakukan di Kejohanan Asia Jakarta dengan catatan baharu 7.67m di India.

Selain Latif, Muhammad Ziyad Zolkefli turut menerima insentif RM8,000 selepas meraih pingat gangsa dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual).

Manakala atlet muda negara, Muhammad Nazmi Nasri yang mencatat rekod peribadi terbaik dalam lompat jauh T37 (kecacatan fizikal) turut menerima ganjaran RM16,000.

“Untuk Ziyad, kita beri RM8,000 bagi gangsa, dan Nazmi RM16,000 kerana ikut kadar SHAKAM yang telah ditetapkan,” jelas Jefri.

Secara keseluruhan, Kementerian Belia dan Sukan bersama MSN memperuntukkan RM103,333 sebagai tanda penghargaan kepada tiga wira para negara atas kejayaan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN