PETALING JAYA: Hanya S. Sivasangari masih meneruskan perjuangan manakala wakil Malaysia selebihnya terkandas seawal pusingan kedua pada Kejohanan Skuasy Terbuka Mesir di Kaherah, kelmarin.
Anak jati Sungai Petani, Kedah yang menghuni ranking No. 8 dunia itu mengetepikan wakil tuan rumah, Nour Heikal 13-11, 11-9, 11-5 dalam masa 29 minit.
Pada pusingan ketiga hari ini, Sivasangari, 26, sekali lagi akan berdepan Jasmine Hutton dari England, lawan yang dibenamnya pada suku akhir Klasik London, minggu lalu.
Jika mara, Sivasangari berpotensi bertemu sekali lagi dengan pemain remaja Mesir berbakat besar, Amina Orfi di suku akhir dan peluang terbaik untuknya membalas kekalahan kepada pemain berusia 18 tahun itu di separuh akhir Klasik London.
Jurulatih kebangsaan, Sharil Shahidan berkata, untuk pusingan seterusnya, kelebihan berpihak kepada Sivasangari kerana dia menang mudah ke atas Hutton, minggu lepas.
“Jika layak dan bertemu Amina, saya harapkan dia lebih bersedia kerana persembahan Amina agak baik, tetapi saya yakin selepas membuat analisis perlawanan sebelum ini ia akan dapat membantu Sivasangari untuk bangkit.
“Saya yakin kerana dia sangat positif dan bermotivasi untuk menewaskan Amina kali ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, tiga lagi pemain negara, Ng Eain Yow, Rachel Arnold dan Aira Azman, kesemua mereka terkandas di peringkat 32 terbaik.
Eain Yow yang mendapat bye di peringkat 64 terbaik, tewas dalam aksi pembukaan di tangan Kareem El Torkey dari Mesir 11-8, 9-11, 8-11, 5-11 dalam masa 56 minit.
Rachel dan Aira pula yang beraksi baik pada pusingan pertama, masing-masing tunduk kepada wakil Mesir, Salma Hany 5-11, 11-2, 4-11, 15-17 dan bintang No. 3 dunia, Hania El Hammamy 9-11, 9-11, 5-11.
Sharil berkata, dia tidak menjangka Eain Yow akan terkandas awal, sementara, Rachel dan Aira, kedua-dua pemain itu tewas dengan pencabar yang berada di ranking lebih baik.
“Bagi saya semua pemain telah buat yang terbaik, jadi, masih ada ruang untuk kemaskan lagi persiapan ke kejohanan seterusnya,” katanya. – UTUSAN










