PETALING JAYA: Jaguh No. 1 dunia, Hania El-Hammamy menanti pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari pada suku akhir Kejohanan Dunia di Giza, Mesir, esok.
Jika berhajat untuk melangkah ke separuh akhir, anak jati Sungai Petani, Kedah itu yang kini menghuni ranking No. 5 dunia perlu mengetepikan wakil tuan rumah tersebut.
Dengan rekod pertemuan 2-7, kemenangan terakhir Sivasangari ke atas El-Hammamy dicatatnya, dua tahun lalu, sewaktu kali pertama menjulang gelaran London Klasik.
Selepas itu, Sivasangari yang baru sahaja dinobatkan selaku juara Piala Grasshopper di Switzerland, bulan lalu, tewas sebanyak dua kali kepada El-Hammamy.
Kemaraan Sivasangari ke suku akhir, setelah dia berhasil menundukkan wakil Belgium, Tinne Gilis 11-5, 13-11, 11-3 dalam masa 38 minit pada pusingan ketiga, semalam.
Sivasangari yang menjadi wakil tunggal Malaysia ke suku akhir berkata, telah agak lama juga dia tidak bertemu Gilis sejak Piala Grasshopper pada tahun lalu dan gembira berjaya menumpaskan pemain itu.
“Set kedua sangat penting dan saya gembira berjaya mengekalkan rentak kemenangan. Saya bagi tahu diri saya agar terus berjuang dan saya masih belum berasa letih lagi.
“Gilis berjaya memintas saya seketika, tetapi, saya terus bersabar kutip mata demi mata. Saya mahu lawan bekerja keras mendapatkan mata dan dia perlu tahu sukar meraih mata daripada saya,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Menurutnya, untuk set ketiga, dia melakar kemenangan lebih mudah dan gembira berjaya mara ke suku akhir.
Mengulas mengenai prestasinya, Sivasangari berkata, tahun ini, dia telah memenangi dua kejohanan berstandard Gold dan pencapaian tersebut belum pernah dilakarnya sebelum ini.
“Biasanya saya memenangi satu kejohanan sahaja untuk satu musim. Tetapi tahun ini, saya menang dua kejohanan besar terutama di Zurich saya berjaya menewaskan Amina (Orfi), ia benar-benar meningkatkan keyakinan saya,” ujarnya.
Bercakap tentang cabaran suku akhir, Sivasangari berharap dia diberi kekuatan untuk bersaing dengan pemain dalam kelompok empat terbaik dunia.
“Saya cuba untuk menewaskan mereka dan mengekalkan prestasi konsisten seboleh mungkin. Tahun ini, saya kerap mara ke suku akhir dalam kejohanan utama, ia satu pencapaian yang hebat, tetapi, saya mahu mengorak langkah lebih jauh daripada itu,” tegasnya. – UTUSAN










